Kedai fizikal pertama Apple di Malaysia iaitu Apple Store kini dibuka secara rasmi untuk pengguna. Buat yang tidak mengetahui, kedai fizikal Apple ini berada di TRX Exchange, Kuala Lumpur.
Apple Store Malaysia mempunyai tiga tingkat dan tampil dengan binaan yang menggunakan pelbagai jenis kaca yang dipadankan dengan seni bina berasaskan kayu. Rekaan ini menjadikan Apple Store lebih mesra cahaya semula jadi sekaligus memberikan suasana yang lebih terbuka dan moden. Selain itu, kedai fizikal pertama Apple ini menggunakan tenaga yang boleh diperbaharui sepenuhnya sekaligus mengurangkan kesan kepada alam sekitar.
Berbeza dengan penjual rasmi Apple atau Apple Authorized Resellers, Apple Store dikendalikan oleh Apple sepenuhnya dan tidak hanya menjual produk mereka sahaja. Namun, ia turut menawarkan pengalaman perkhidmatan yang berkualiti tinggi mengikut piawaian yang ditetapkan oleh Apple. Terdapat juga sokongan teknikal dan bengkel yang disediakan untuk pengguna lebih memahami produk yang ditawarkan oleh Apple.
Selain itu, kehadiran Apple Store turut memberi lebih banyak kelebihan kepada pengguna di Malaysia seperti dapat membeli produk baru dengan lebih awal, sokongan akses untuk produk baru dan sebagainya. Pada ketika ini, Apple telahpun menawarkan beberapa program untuk pengguna Malaysia seperti Apple Trade-In, AppleCare+ dan terbaru Apple Pickup.