Close

MSI Stealth 18 Mercedes AMG Edition tiba di Malaysia dengan harga RM18,999

MSI Malaysia secara rasmi memperkenalkan komputer riba edisi khas iaitu MSI Stealth 18 Mercedes AMG Edition. Seperti namanya, komputer riba edisi khas ini hadir dengan kemasan dan aksesori yang bertemakan kepada Mercedes AMG.

MSI Stealth 18 Mercedes AMG Edition hadir dengan skrin MINI LED bersaiz 18-inci dengan resolusi 4K dan paparan 120Hz. Dikuasakan dengan cip Intel Core 9 Ultra 185H yang dipadankan dengan RAM 64GB dan storan dalaman SSD PICe 4.0 2TB.

Untuk prestasi grafik, ia dilengkapi dengan kad grafik NVIDIA GeForce RTX 4080 12GB DDR6 yang menjanjikan pengalaman permainan yang terbaik dan mampu menjalankan semua permainan dengan tetapan paling tinggi.

Komputer riba ini dimuatkan dengan bateri 99Wh yang menyokong pengecasan pantas 240W. Untuk port sambungan, ia hadir dengan 1x Thunderbolt, 1x USB-C 3.2 Gen2, 1x RJ-45, 1x bicu audio 3.5mm, 2x USB-A, 1x HDMI 2.1 dan 1x card reader. Spesifikasi lain yang turut dibawakan adalah seperti WiFi 7, Bluetooh 5.4 dan menjalankan sistem operasi Windows 11 Home.

Untuk pasaran Malaysia, MSI Stealth 18 Mercedes AMG Edition dijual pada harga RM18,999. Bagi yang berminat, komputer riba ini boleh dipra-tempah bermula hari ini sehingga 30 Jun 2024. Setiap pra-tempahan akan menerima aksesori pek eksklusif MSI Limited Edition.

Bukan itu sahaja, setiap pra-tempahan akan menerima sebuah replika kereta lumba Mercedes-AMG GT3MSI Limited Edition pada skala 1:18 dengan percuma.

ARTIKEL BERKAITAN