ASUS Malaysia kini sedia untuk menawarkan sebuah gaming desktop kelas premium melalui model ROG G1000. Seperti namnya, peranti hadir dengan spesifikasi yang berkuasa dengan rekaan yang agresif.

Dari segi rekaan, ROG G1000 tampil dengan casing ROG Ultra Custom bersaiz ATX yang berkapasiti 104 liter yang dimuatkan dengan sistem pencahayaan RGB. Dikuasakan dengan cip Ryzen 9 9950X3D, salah satu pemproses gaming berprestasi tinggi dari AMD.

Dipadankan dengan papan induk siri ROG Crosshiar X870E yang menawarkan sambungan Wifi 7 dan Bluetooth 5.4. Untuk prestasi grafik, ia menggunakan GPU ROG Astral GeForce RTX 5080 OC Edition. Dari segi konfigurasi memori, ia hadir dengan RAM 64GB DDR5 dengan konfigurasi 2 x 32GB UDIMM dan 1TB storan dalaman PCIe 4.0, menyokong beberapa slot M.2 dan port SATA untuk penambahan storan.
ROG G1000 ini menggunakan bekalan kuasa ASUS ROG 1000W dan menggunakan sistem penyejukan ROG Thermal Atrium dengan radiator bersaiz 420mm, yang disejukkan oleh tiga kipas 140mm. Selain itu, ASUS ROG G1000 ini juga dilengkapi dengan papan kekunci dan tetikus ASUS ROG sebagai aksesori tambahan.

Di Malaysia, ROG G1000 dijual pada harga RM32,999 boleh yang dibeli melalui ASUS Store Malaysia dan juga pengedar rasmi ASUS. Pembeli terawal yang membeli melalui ASUS Store Malaysia akan menerima monitor ASUS ROG Strix OLED XG32UQWMS yang bernilai RM5650 secara percuma, selagi stok masih ada.