Pada acara WWDC 2024, Apple telah memperkenalkan kecerdasan buatan (AI) mereka iaitu Apple Intelligence. Melaluinya, ia hadir dengan pelbagai fungsi menarik yang akan tersedia pada peranti Apple.

Namun begitu, Apple Intelligence mungkin tidak akan tersedia untuk pengguna di negara Kesatuan Eropah (EU). Tidak hanya Apple Intelligence, fungsi iPhone Mirroring dan SharePlay screen sharing turut tidak akan tersedia untuk pengguna EU.

Fungsi tersebut tidak akan tersedia untuk pengguna EU disebabkan oleh Akta Pasaran Digital (DMA). Melalui akta tersebut, fungsi yang tidak boleh diakses pihak ketiga tidak boleh ditawarkan kepada pengguna. Akta tersebut diwujudkan bagi mengelakkan isu monopoli berlaku.
Menurut Apple, dengan memberikan akses kepada pihak ketiga ia bakal menjejaskan privasi dan juga keselamatan data pengguna. Dalam masa yang sama, Apple akan bekerjasama dengan EU dalam menyelesaikan masalah tersebut sekaligus membolehkan fungsi tersebut tersedia untuk pengguna.