Ini mungkin berita yang ditunggu-tunggu oleh peminat dan pengguna iPhone. Menurut laporan, iPhone 16 Pro dan 16 Pro Max mungkin menyokong pengecasan berwayar dan tanpa wayar yang lebih pantas berbanding model sebelumnya.
iPhone 16 Pro dan 16 Pro Max dikatakan akan menyokong pengecasan pantas berwayar 40W dan pengecasan tanpa wayar 20W. Sebagai perbandingan, iPhone 15 Pro dan 15 Pro Max hanya menyokong pengecasan berwayar 27W dan pengecasan tanpa wayar 15W.
Sokongan pengecasan yang lebih pantas pada iPhone 16 Pro dan 16 Pro Max dikatakan untuk mengimbangi dan menyelesaikan masalah pengecasan yang perlahan disebabkan oleh peningkatan kapasiti bateri yang lebih besar.
Ini bukan kali pertama terdapat laporan menyatakan Apple akan menyokong pengecasan yang lebih pantas pada iPhone. Sebelum ini, siri iPhone 15 dikatakan menyokong pengecasan pantas 35W namun perkara tersebut tidak berlaku.