ZOTAC secara rasmi memperkenalkan konsol mudah alih pertama mereka iaitu ZONE di acara Gamescom. Sebelum ini, konsol mudah alih ini telahpun diperlihatkan lebih awal di acara COMPUTEX 2024.
Seiring dengan pengenalan tersebut, ZOTAC turut mengesahkan yang konsol mudah alih ini akan mula ditawarkan di beberapa pasaran terpilih. ZONE bakal menjadi pesaing kepada konsol mudah alih lain seperti Lenovo Legion Go, MSI Claw, ASUS ROG Ally dan Steam Deck.
Dari segi rekaan, ZONE tampil dengan rekaan yang hampir sama seperti kebanyakkan konsol mudah alih. Namun begitu, ia hadir dengan rekaan yang lebih ringan bersama dengan alat kawalan yang lebih menarik. Konsol ini dilengkapi dengan dua pad sesentuh, jog wheels, analog dengan suis Hall Effect dan paling menarik terdapat butang tigger yang menyokong dua tetapan untuk kawalan yang berbeza.
ZONE hadir dengan skrin AMOLED bersaiz 7-inci yang menyokong paparan 120Hz dan kecerahan puncak 800 nits. Dikuasakan dengan cip AMD Ryzen 7 8840U dan GPU Radeon 780M. Menggunakan konfigurasi memori 16GB RAM LPDDR5X-7500, storan dalaman 512GB SSD dan bateri 48.5 Wh.
Dari segi sambungan, terdapat dua port USB-C dimuatkan iaitu Thunderbolt 4 untuk pengecasan dan sambungan DP 1.4. Konsol mudah alih ini menjalankan sistem operasi Windows 11 Home Edition.
Di beberapa negara, ZOTAC ZONE telahpun dibuka untuk pra-tempahan dengan harga jualan bermula sekitar $799 (RM3499). Konsol mudah alih ini dijangka akan turut ditawarkan untuk pasaran tempatan. Namun begitu, tiada sebarang maklumat mengenai harga jualan dan ketersediaan buat masa ini.