Sony secara rasmi memperkenalkan konsol terbaru mereka iaitu PlayStation 5 Pro (PS5 Pro). Hadir dengan beberapa peningkatan dengan prestasi yang lebih baik berbanding PS5.
PS5 Pro memfokuskan kepada penawaran pengalaman grafik yang lebih imersif. Berikutan itu, PS5 Pro hadir dengan tiga peningkatan utama dalam usaha untuk merealisasikan perkara tersebut.
Tiga peningkatan yang dibawakan pada konsol ini adalah GPU yang lebih berkuasa, penggunaan kecerdasan buatan AI-driven Upscalling dan juga kemampuan ray tracing yang dipertingkat. AI-driven Upscalling membolehkan konsol ini menawarkan resolusi yang lebih baik untuk permainan melalui PlayStation Spectral Super Resolution. Kemampuan ray tracing adalah dua kali ganda lebih berkuasa berbanding PS5.
Selain itu, ia turut hadir dengan sokongan Game Boost yang membolehkan permainan PS4 sedia ada dimainkan pada kualiti yang lebih baik. Kemampuan GPU pada PS5 Pro adalah 67% lebih banyak Compute Unit dengan memori 28% lebih pantas sekaligus membolehkan proses rendering menjadi 45% lebih laju dan permainan boleh dimainkan pada 60fps. Selain itu, ia menjanjikan pengalaman grafik yang lebih tajam, cantik dan lancar.
PS5 Pro akan dijual pada harga sekitar $699 (RM3040) untuk 2TB tanpa pemacu cakera digital. Konsol ini akan tersedia pada 7 November 2024 dengan pra-tempahan boleh dibuat bermula 26 September 2024.