Close

GoPro HERO 13 Black dan HERO (2024) tiba di Malaysia dengan harga bermula RM999

GoPro secara rasmi memperkenalkan 2 kamera aksi baru mereka untuk pasaran tempatan iaitu HERO 13 Black dan HERO (2024).

HERO 13 Black hadir dengan beberapa peningkatan dan menyokong 4 mod kanta yang boleh ditukar seperti Ultra-Wide Lens, Macro Lens, Anamorphic Lens dan ND Filter 4-Pack. Yang mana, ia turut dilengkapi dengan fungsi mengesan dan melaraskan tetapan secara automatik. Dari segi kemampuan kamera, ia menggunakan konfigurasi yang sama dengan sensor 1/1.9” CMOS 8:7 dan cip pemproses GP2. Bermaksud, ia menyokong rakaman video dan imej HDR dengan resolusi 5.3K 60fps dan 4K 60fps.

Selain itu, ia turut menyokong rakaman video gerak perlahan 400fps pada resolusi 720p. Sistem penyejuk kini ditambah baik dengan mengguna rekaan seperti sirip yang diletakkan pada bahagian hadapan untuk mengoptimumkan prestasi. Kapasiti bateri turut dipertingkat kepada 1900mAh berbanding 1720mAh pada model sebelumnya. Selain itu, fungsi magnetik turut dinaik taraf dan kemampuan GPS kini lebih baik.

GoPro turut memperkenalkan kamera aksi versi yang lebih mampu milik iaitu HERO (2024). Namun begitu, model ini bukanlah HERO 13 Black Mini. Tampil dengan rekaan yang lebih kompak dengan berat hanya sekitar 86 gram sahaja. Menggunakan cip yang lebih rendah iaitu S75N dan mampu merakam sehingga 4K 30pfs yang menyokong teknologi HyperSmooth.

Seperti kamera aksi lain, HERO (2024) ini turut menyokong kalis air sehingga 16 kaki dan dibina dengan binaan tahan lasak yang boleh digunakan dalam pelbagai keadaan. HERO (2024) mampu merakam sehingga 100 minit pada resolusi paling tinggi dengan hanya sekali cas.

Untuk pasaran Malaysia, GoPro HERO 13 Black dijual pada harga RM1999 untuk set asas dan RM3199 untuk Creator Edition. Manakala untuk HERO (2024) dijual pada harga RM999.

ARTIKEL BERKAITAN