Sebelum ini, kami ada melaporkan yang Disney+ akan mula menyekat perkongsian akaun atau kata laluan bermula tahun ini.
Dalam perkembangan terbaru, Disney mula mengenakan bayaran untuk perkongsian akaun melalui fungsi ‘Extra Member’ atau ahli tambahan. Melalui fungsi ini, pengguna perlu membuat bayaran tambahan jika ingin menambah pengguna yang bukan tinggal serumah.
Untuk pengguna di Amerika Syarikat, extra member dikenakan bayaran sekitar $6.99 (RM29) sebulan untuk Disney+ Basic dengan iklan dan $9.99 (RM41) sebulan untuk Disney+ Premium.
Namun begitu, fungsi ini hanya menawarkan satu slot tambahan sahaja untuk setiap akaun Disney+. Selain itu, slot tambahan tersebut hanya boleh melakukan penstriman dan muat turun pada satu peranti sahaja dalam satu masa.
Buat masa ini, fungsi ini hanya tersedia di beberapa negara seperti Amerika Syarikat, Kanada, Costa Rica, Guatemala, Singapura, Jepun, Taiwan, Hong Kong dan lain-lain. Tidak dapat dipastikan adakah fungsi ini akan turut tersedia untuk pengguna di Malaysia atau sebaliknya.