Indonesia telah meminta Google dan Apple untuk menyekat aplikasi e-dagang dari China iaitu Temu supaya tidak boleh dimuat turun dari Play Store dan App Store.
Menurut Menteri Komunikasi Indonesia iaitu Budi Arie Setiadi, langkah tersebut diambil bagi melindungi perniagaan kecil dan sederhana daripada produk murah yang ditawarkan melalui aplikasi tersebut. Model perniagaan yang digunakan oleh Temu bakal mewujudkan persaingan yang tidak sihat. Yang mana, ia menghubungkan pengguna atau pelanggan secara terus dengan kilang di China sekaligus dapat mengurangkan harga jualan dengan ketara.
Selain itu, Jakarta akan turut menyekat sebarang pelaburan yang dibuat oleh Temu kepada mana-mana platform e-dagang tempatan. Sebelum ini, aplikasi Temu telah dikesan tersedia untuk dimuat turun di Play Store dan App Store biarpun ia belum lagi beroperasi.
Pada tahun lalu, Indonesia telahpun mengharamkan aplikasi e-dagang yang dimiliki oleh ByteDance iaitu TikTok Shop. Pengharaman tersebut turut menggunakan alasan yang sama iaitu untuk melindungi peniaga luar talian dan juga perusahaan kecil atau sederhana.