Proton hari ini berkongsi harga jualan untuk kenderaan elektrik (EV) pertama mereka iaitu e.MAS 7. Maklumat tersebut dikongsi pada acara Auto Care Expo (ACE) 2024 yang berlangsung di Setia City Convention Centre.
Harga jualan untuk e.MAS 7 adalah sekitar RM120,000 dan akan ditawarkan dua pilihan varian iaitu Proton e.MAS 7 Prime dan Proton e.MAS 7 Premium. Sebelum ini, Proton telahpun membuka pra-tempahan untuk EV pertama mereka dengan deposit RM500.
Proton e.MAS 7 dijangka akan menjadi pencabar kepada beberapa EV dalam segmen yang sama iaitu BYD Atto 3, Tesla Model Y, Xpeng G6, Cherry Omodo E5 dan lain-lain. Yang mana, semua model ini ditawarkan pada harga di bawah RM200,000.
Proton e.MAS 7 hadir dengan motor elektrik tunggal yang mampu menghasilkan kuasa 160 kW dan 320 Nm. Boleh memecut dari 0 ke 100 km/j dalam masa 6.9 saat dengan kelajuan maksimum 175 km/j.
Untuk Proton e.MAS 7 Prime, ia dilengkapi dengan 49.52 kWh dengan jarak gerak 345 km (WLTP). Sementara untuk Proton e.MAS 7 Premium pula dimuatkan dengan bateri 60.22 kWh dengan jarak gerak 410 km (WLTP). EV pertama Proton ini dijangka akan turut menyokong aplikasi e.MAS untuk membolehkan ia disepadukan antara aplikasi dan juga EV.