Dua buah EV dari Xiaomi iaitu SU7 Max dilaporkan terbabas disebabkan oleh masalah brek sekaligus menyebabkan kemalangan.
Menurut laporan, Xiaomi SU7 Max dikatakan terbabas semasa melakukan ujian trek yang berpunca dari masalah brek. Dalam satu video yang dikongsi, SU7 Max dilihat gagal membrek ketika memasuki selekoh sebelum terbabas dan merempuh penghadang.
Buat yang tidak mengetahui, SU7 Max adalah sebuah EV berprestasi tinggi yang mampu menghasilkan kuasa 663 hp dan 838 Nm. SU7 Max dilengkapi dengan sistem brek dari Brembo namun apa yang mengejutkan saiz pad brek yang digunakan adalah lebih kecil berbanding pada Honda CR-V.
Seiring dengan kejadian tersebut, Xiaomi telah mengeluarkan kenyataan mengenainya. Menurut Xiaomi, SU7 Max sememangnya EV berprestasi tinggi namun ia dibina untuk kegunaan jalan raya bukannya untuk trek perlumbaan profesional.
Pad brek yang digunakan pada SU7 Max adalah jenis Non-Asbestos Organic (NAO) yang sesuai untuk pemanduan harian. Produk tersebut menawarkan prestasi brek yang memenuhi keperluan untuk pemanduan jalan raya awam.