MSI secara rasmi memperkenalkan dua konsol mudah alih baru iaitu Claw 8 AI+ dan Claw 7 AI+. Hadir dengan spesifikasi yang lebih berkuasa, jangka hayat bateri yang lebih panjang dan rekaan yang lebih ergonomik.
MSI Claw 8 AI+ hadir dengan skrin IPS bersaiz 8-inci dengan resolusi FHD+ dan menyokong paparan 120Hz. Dikuasakan dengan cip Intel Core Ultra 7 258V yang dipadankan dengan RAM 32GB LPDDR5X dan storan dalaman 1TB PCIe Gen4 SSD.
Untuk prestasi grafik, ia dilengkapi dengan GPU Intel Arc 140V yang menjanjikan pengalaman permainan yang lebih baik. Dimuatkan dengan bateri 80Whr yang menyokong pengecasan pantas 65W USB Type-C PD 3.0. Dari segi sambungan, ia hadir dengan 2x Thunderbolt 4/DP/USB Type-C, 1x slot kad MikroSD dan 1x bicu audio.
Manakala untuk MSI Claw 7 AI+, ia hadir dengan skrin IPS bersaiz 7-inci dengan resolusi FHD+ dan menyokong paparan 120Hz. Turut dikuasakan dengan cip Intel Core 7 Ultra, GPU Inter Arc 140V, 32GB RAM LPDRR5X dan juga storan dalaman 1TB PCIe Gen4 SSD.
Dimuatkan dengan bateri 54.5Whr yang menyokong pengecasan pantas 65W USB Type-C PD 3.0. Dari segi sambungan, ia hadir dengan 2x Thunderbolt 4/DP/USB Type-C, 1x slot kad MikroSD dan 1x bicu audio.
Kedua-dua konsol ini menjalankan Windows 11 Home dan menyokong fungsi CoPilot+ secara terbina. Selain itu, ia kini dilengkapi dengan teknologi sistem penyejuk yang lebih baik melalui Cooler Boost Hyperflow yang menawarkan pengurusan haba yang lebih baik.
Untuk pasaran Eropah, MSI Claw 8 AI+ dijual pada harga bermula sekitar $899 (RM3997) sementara MSI Claw 7 AI+ pula dijual dengan harga sekitar $799 (RM3553). Tidak dapat dipastikan adakah konsol ini akan turut ditawarkan untuk pasaran tempatan atau sebaliknya.