E-sport hotel, mungkin kedengaran agak pelik dan janggal namun itulah yang ditawarkan oleh Hatten hotel. Melaluinya, ia menawarkan pengalaman gaming yang unik dan menarik dengan fasiliti yang terkini.
E-sport hotel bukan sekadar tempat penginapan biasa tetapi ia turut mempunyai sebuah ruang atau bilik khas yang direka khusus untuk bermain permainan. Ruang khas ini dilengkapi dengan komputer gaming yang berkuasa, sistem audio yang berkualiti dan internet berkelajuan tinggi.
Komputer gaming ini dikuasakan dengan cip Intel Core i5-12400F yang dipadankan dengan 16GB RAM dan storan dalaman 1TB. Untuk prestasi grafik, ia menggunakan GPU NVIDIA GeForce RTX 3060 yang menjanjikan pengalaman grafik yang mengasyikkan.
Bukan itu sahaja, komputer gaming ini digabungkan dengan monitor Samsung Odyssey OLED G6e untuk memberikan pengalaman visual yang imersif. Monitor ini sememangnya direka khas untuk memberikan pengalaman gaming yang mewah dan premium.
Selain itu, monitor ini turut menyokong resolusi QHD dengan paparan 360Hz sekaligus menjadikannya ia pilihan sempurna untuk pelbagai permainan. Untuk menjadikan monitor lebih menarik, ia hadir dengan ciri response time 0.03ms untuk memberikan pengalaman permainan yang lebih lancar dan pantas.
Untuk memberikan pengalaman gaming yang lebih baik, E-sport hotel ini menyokong akses internet berkelajuan tinggi yang mencapai sehingga 1Gbps. Dengan internet berkelajuan tinggi, ia membolehkan muat turun permainan lebih pantas dan tiada masalah ping tinggi atau lengah masa yang dihadapi.
Selain kemudahan untuk permainan, E-sport hotel ini turut menawarkan pengalaman penginapan yang baik. Terdapat ruang tempat tidur yang sangat selesa sesuai untuk 5 orang. Selain itu, terdapat juga ruangan untuk bersosial, melepak dan sebagainya. Secara keseluruhan, apa yang boleh dikatakan E-sport hotel ini memberikan satu pengalaman yang unik yang setanding seperti pemain gaming profesional.
Sekiranya anda berminat untuk merasai pengalaman gaming di Esport hotel, ia boleh dipra-tempah pada harga RM999 untuk 2 hari 1 malam.