Selepas kurang dari 24 jam TikTok diharamkan di Amerika Syarikat (AS), aplikasi tersebut kini boleh diakses semula oleh pengguna.

Namun begitu, berbeza dengan beberapa aplikasi lain di bawah ByteDance seperti CapCut, Lemon8 dan Marvel Snap. Ketiga-tiga aplikasi ini masih lagi disekat dan tidak tersedia untuk dimuat turun di Apple App Store atau Google Play Store.

Ketiga-tiga aplikasi memaparkan mesej yang serupa iaitu menyatakan aplikasi tersebut diharamkan atau disekat oleh kerajaan Amerika Syarikat. Pada permulaan, kami menjangkakan hanya CapCut dan Lemon8 akan terkesan dengan larangan tersebut.
Namun, permainan Marvel Snap nampaknya turut terkesan dengan larangan itu. Buat yang tidak mengetahui, Marvel Snap dibangunkan oleh Nuverse yang dimiliki oleh ByteDance.
Buat masa ini tiada sebarang maklumat yang dikongsi oleh ByteDance atau Amerika Syarikat mengenai nasib ketiga-tiga aplikasi tersebut.