Infinix secara rasmi memperkenalkan cincin pintar pertama yang dikenali sebagai Infinix AI Ring. Merupakan peranti boleh pakai yang menawarkan pelbagai fungsi kesihatan dengan kecerdasan buatan (AI) dalam saiz yang kecil dan juga ringan.

Infinix AI Ring tampil dengan rekaan yang minimalis dengan berat hanya 3.7 gram sahaja. Ditawarkan dengan 2 pilihan warna iaitu hitam dan emas. Peranti ini turut menyokong penarafan 5 ATM untuk membolehkan ia digunakan dalam pelbagai keadaan.
Cincin pintar ini mampu mengukur pelbagai aspek kesehitana seperti kadar degupan jantung, tahap oksigen dalam darah (Sp02), kualiti tidur dan juga tahap tekanan secara masa nyata. Infinix menyatakan, penggunaan pada jari memberikan bacaan biometrik yang lebih tepat berbanding jika digunakan pada pergelangan tangan.

Selain itu, Infinix AI Ring mempunyai keupayaan untuk memberikan maklum balas berdasarkan kepada tabiat individu sekaligus dapat memantau kesihatan pengguna dengan lebih berkesan. Selain fungsi kesihatan, peranti ini turut menyokong kawalan pintar melalui pergerakkan jari membolehkan pengguna mengawal kamera, muzik atau peranti rumah pintar tanpa menyentuh telefon.

Peranti ini menawarkan jangka hayat bateri sekitar 5 hingga 7 hari untuk setiap pengecasan, dicaj melalui bekas pengecas lut sinar yang turut berfungsi tempat penyimpanan. Untuk sambungan, ia menggunakan aplikasi Infinix Health yang boleh diintergrasikan dengan pelbagai AIoT Infinix yang lain.

Di Malaysia, Infinix AI Ring dijual pada harga RM499 dan boleh dibeli di semua kedai fizikal rasmi Infinix dan kedai atas talian Shopee, Lazada dan TikTok Shop. Selain itu, setiap pembelian disertakan dengan jaminan 12+1 bulan.