Xiaomi dan Polyphony Digital mengumumkan kerjasama sekaligus membolehkan model SU7 Ultra muncul dalam permainan Gran Tourismo 7.

Pengumuman itu dibuat sempena pusingan pertama Gran Turismo World Series 2025. Melalui kerjasama ini, SU7 Ultra akan menjadi model pertama Xiaomi yang akan disertakan dalam francais Gran Tourismo. Buat yang tidak mengetahui, Gran Tourismo adalah permainan pemanduan simulator yang terkenal dengan ketepatan teknikal dan cara pemanduan seperti dunia sebenar.

SU7 Ultra menggunakan tri-motor elektrik dengan 2 motor HyperEngine V8 dan 1 motor HyperEngine V6s. Mampu menghasilkan kuasa sebanyak 1548 hp dan memecut dari 0-100 km/j hanya dalam 1.9 saat. Kelajuan maksimum untuk SU7 Ultra ini adalah sekitar 350 km/j.
Selain itu, Xiaomi dan Polyphony Digital turut merancang untuk membangunkan model konsep ‘VISION GRAN TOURISMO’, konsep EV masa depan untuk permainan.