Samsung telahpun memperkenalkan fon lipat mereka yang seterusnya iaitu Galaxy Z Fold7. Berbeza dengan model sebelumnya, Galaxy Z Fold7 merupakan fon lipat paling nipis yang pernah dihasilkan oleh Samsung.
Rekaan

Samsung masih mengekalkan rekaan ikonik yang juga identiti kepada peranti mereka. Namun begitu, apa yang mencuri tumpuan adalah Galaxy Z Fold7 merupakan fon lipat paling nipis yang pernah dihasilkan oleh Samsung.

Galaxy Z Fold7 tampil dengan rekaan yang lebih nipis dan ringan berbanding model sebelumnya. Peranti ini hanya setebal 8.9mm apabila dilipat dan menjadi 4.2mm apabila dibuka. Dari segi berat, Galaxy Z Fold7 hanya seberat 215gram berbanding 239gram pada Galaxy Z Fold6. Bukan itu sahaja, Galaxy Z Fold7 juga lebih ringan berbanding Galaxy S25 Ultra dengan berat 218gram.

Tidak hanya nipis dan ringan, Samsung turut menggunakan rekaan engsel baru yang dipanggil sebagai Armor FlexHinge. Engsel ini telah direka semula untuk ketahanan yang lebih baik dan struktur bawah skrin telah diubah untuk mengurangkan kesan lipatan.

Selain itu, bahagian bingkai kini menggunakan bahan binaan Advanced Armor Aluminum yang 10% lebih kukuh dan lebih tahan hentakan. Samsung turut menyatakan lapisan Ultra-Thin Glass (UTG) yang digunakan kini 50% lebih nipis.

Terdapat peningkatan saiz pada skrin dalam dan luar, skrin dalam kini bersaiz 8.0-inci manakala untuk skrin luar pula bersaiz 6.5-inci. Sebagai perbandingan, Galaxy Z Fold6 hadir dengan skrin dalam bersaiz 7.6-inci dan skrin luar pula 6.3-inci. Kedua-dua skrin menyokong paparan adaptif 120Hz dan dilindungi dengan Gorilla Glass Victus 2.
Prestasi

Galaxy Z Fold7 dikuasakan dengan cip andalan terbaru dari Qualcomm yang direka khas untuk Samsung iaitu Snapdragon 8 Elite for Galaxy. Berbeza dengan cip yang digunakan pada pengeluar lain, ia direka khas untuk peranti Galaxy bagi memberikan prestasi AI yang lebih pantas dan lancar.
Cip ini dipadankan dengan RAM sehingga 16GB LPDDR5X dan storan dalaman sehingga 1TB UFS 4.0. Samsung mendakwa Galaxy Z Fold7 menawarkan peningkatan prestasi sehingga 38% untuk CPU, 26% untuk GPU dan 41% untuk NPU berbanding model sebelumnya.

Dengan peningkatan tersebut ia membolehkan Galaxy Z Fold7 mengendalikan pelbagai fungsi AI secara terus pada peranti tanpa perlu bergantung kepada sambungan awan, sekaligus memberikan pengalaman lebih lancar.
Sistem operasi

Galaxy Z Fold7 merupakan peranti pertama yang dilancarkan bersama dengan Android 16 dengan sistem operasi One UI 8. Masih lagi mengekalkan antaramuka yang minimalis dan mudah untuk difahami. Selain itu, ia turut membawakan beberapa penambahbaikan dan juga fungsi Galaxy AI baru yang memanfaatkan keupayaan fon lipat.
Samsung menyatakan, One UI 8 membolehkan kelebihan skrin pada Galaxy Z Fold7 dioptimumkan dengan lebih baik melalui Galaxy AI Optimized for Large Screens. Melaluinya, ia menyokong pelbagai ciri baru seperti AI Results View ,Drag & Drop AI dan lain-lain.

Semua ciri Galaxy seperti AI Translate, Writing Assist, Sketch Assist, Now Bar, Now Brief, Photo Assist, Generative Edit dan Circle to Search masih tersedia. Selain itu, Samsung turut menyertakan Google Gemini Live yang boleh diakses dengan mudah melalui butang kuasa. Akhirnya sekali, Samsung menawarkan kemas kini sehingga 7 tahun untuk Android dan juga keselamatan untuk Galaxy Z Fold7.
Kamera

Samsung turut membawakan peningkatan yang lebih baik pada kemampuan kamera. Galaxy Z Fold7 kini hadir dengan sensor utama yang lebih besar iaitu 200MP. Menurut Samsung, sensor ini mampu memberikan hasil gambar yang terperinci dengan warna yang lebih terang.

Kemampuan kamera ini turut dibantu dengan ProVisual Engine generasi baru yang mampu memproses kandungan dengan lebih pantas dalam masa yang sama menjadikan hasil imej atau video lebih jelas dan lebih teperinci. Selain itu, rakaman video kini menyokong 10-bit HDR untuk memberikan warna yang lebih realistik tidak kira pada keadaan kurang cahaya atau sebaliknya.

Selain itu, peranti ini turut dilengkapi dengan sensor 12MP Ultra Lebar + 10MP Telefoto OIS dengan 3x zum optik. Manakala, untuk swafoto ia kini menggunakan sensor 10MP yang dimuatkan pada skrin utama dan skrin kedua. Samsung tidak lagi menggunakan kamera jenis Under Display Camera (UDC) seperti mana pada model sebelumnya.