Close

Nothing Phone (3) kini rasmi di Malaysia dengan harga bermula RM3299

Peranti andalan Nothing iaitu Phone (3) tiba secara rasmi ke pasaran tempatan. Peranti ini hadir dengan pelbagai peningkatan yang menarik dari segi rekaan dan spesifikasi.

Phone (3) tampil dengan rekaan yang berbeza dari model sebelumnya. Tiada lagi Glyph LED sebaliknya diganti dengan Glyph Matrix yang diletakkan pada bahagian atas sebelah kanan. Glyph Matrix menyokong 489 mikro LED yang digunakan untuk memaparkan notifikasi, status bateri dan sebagainya.

Rekaan panel belakang turut diubah yang diinspirasikan dari disciplined 3-column grid. Bukan itu sahaja, Nothing turut memuatkan butang tambahan pada panel belakang yang dipanggil sebagai Glyph Button, digunakan untuk ubah atau tukar widget pada Glyph Matrix.

Dilengkapi dengan skrin Flexible AMOLED bersaiz 6.67-inci dengan resolusi 1.5K. Turut menyokong paparan 120Hz, kecerahan puncak 4500 nits dan PWM Dimming pada 2160Hz. Dikuasakan dengan cip Snapdragon 8s Gen 4 yang dipadankan dengan RAM sehingga 16GB LPDDR5X dan storan dalaman sehingga 512GB UFS 4.0.

Menggunakan tetapan tri-kamera belakang dengan sensor utama 50MP + 50MP Teleskop + 50MP Ultra Lebar dan 50MP swafoto. Kemampuan kamera ini turut dibantu dengan TrueLens Engine 4.0. Dimuatkan dengan bateri silikon 5150mAh yang menyokog pengecasan 65W berwayar, 15W tanpa wayar, 5W pengecasan berbalik tanpa wayar dan 7.5W pengecasan berbalik berwayar.

Spesifikasi lain yang turut dibawakan adalah penarafan IP68, pengimbas cap jari bawah skrin, pembesar suara jenis stereo dan menjalankan sistem operasi Nothing OS 3.5 berasaskan Android 15. Untuk kemas kini, Phone (3) menyokong 5 tahun untuk Android dan 7 tahun untuk keselamatan.

Di Malaysia, Nothing Phone (3) ditawarkan dalam dua pilihan varian iaitu 12GB + 256GB RM3299 dan 16GB + 512GB RM3799. Ditawarkan dalam dua pilihan warna iaitu White dan Black. Bagi yang berminat, peranti ini boleh dipra-tempah bermula 12 Julai dan jualan pertama akan bermula pada 1 Ogos.

ARTIKEL BERKAITAN