Close

DJI OSMO 360 tiba di Malaysia dengan harga bermula RM1879

DJI Malaysia secara rasmi memperkenalkan kamera aksi 360 pertama mereka ke pasaran tempatan. Kamera aksi tersebut dikenali sebagai DJI OSMO 360, bakal jadi pesaing kepada Insta360 X5 dan GoPro Max 2.

DJI OSMO 360 hadir dengan rekaan yang minimalis dan ringan dengan berat sekitar 183 gram sahaja. Sebagai perbandingan, kamera aksi Insta360 X5 adalah lebih berat iaitu sekitar 200 gram. Dimuatkan dengan storan dalaman 128GB membolehkan pengguna merakam lebih banyak kandungan.

DJI OSMO 360 merupakan kamera aksi pertama yang hadir dengan sensor CMOS 1-inci. Melaluinya, ia menjanjikan hasil video dan imej yang lebih baik pada pelbagai keadaan seperti kurang cahaya dan sebagainya.

Peranti ini menyokong video native 8K yang membolehkan rakaman panorama 360° dilakukan dalam kualiti sebenar 8K. Selain itu, ia turut menyokong pelbagai resolusi rakaman antaranya 4K dengan 120fps (170° FOV), 5K dengan 60fps (155° FOV) dan 6K dengan 60fps dalam mod 360.

Rakaman gerak perlahan pula menyokong sehingga 4x dengan resolusi 4K dengan 100fps. Kamera aksi ini turut hadir dengan beberapa lagi ciri menarik seperti sokongan D-Log M & 10 Bit color, OSMO Audio, Super Night Mode, intelligent tracking, intelligent wind noise reduction dan lain-lain. Ciri mod penstabilan 360°HorizonSteady dan RockSteady 3.0 turut tersedia untuk menawarkan rakaman video yang lebih baik.

Dari segi ketahanan, ia menyokong penarafan IP68 yang mampu bertahan pada kedalaman 10 meter tanpa sebarang aksesori. Dimuatkan dengan bateri 1950mAh yang mampu merakam sehingga 100 minit pada resolusi 8K dan mencapai sehingga 120 minit dalam Endurance Mode.

Di Malaysia, DJI OSMO 360 ditawarkan dalam dua pilihan pakej iaitu Standard dengan harga RM1879 dan Advanture Combo pada harga RM2369.

ARTIKEL BERKAITAN