Close

Ulasan Samsung Galaxy Watch8 – Lebih nipis, lebih ringan dan lebih pintar

Samsung kembali lagi dengan penawaran jam tangan pintar baru mereka iaitu Galaxy Watch8. Berbeza dengan model sebelumnya, untuk kali ini ia hadir dengan pelbagai peningkatan yang menarik dengan reka bentuk serba baru, prestasi yang efisien dan ciri kesihatan berasaskan AI.

Rekaan dan binaan

Samsung melakukan perubahan ketara pada Galaxy Watch8 hadir dengan rekaan baru dengan sentuhan yang lebih premium dan elegan. Tidak lagi menggunakan reka bentuk bulat tetapi menggunakan reka bentuk ‘squircle’ yang kelihatan lebih mewah dan moden. Kami menyukai reka bentuk baru berbanding generasi sebelumnya namun anda mungkin mempunyai pendapat yang berbeza.

Samsung turut membawa beberapa peningkatan untuk menjadikan peranti ini lebih baik. Antara peningkatan yang dibawakan adalah peranti ini 11% lebih nipis berbanding sebelumnya sekaligus menjadikan ia lebih ringan dan selesa apabila dipakai. Sistem Dynamic Lug yang digunakan pada Galaxy Watch Ultra turut dimuatkan untuk memberikan keselesaan dan membantu mengurangkan pergerakan jam ketika dipakai.

Galaxy Watch8 menggunakan binaan armor aluminium yang menyokong penarafan IP68, 5ATM dan juga pensijilan MIL-STD-810H. Jadi, ketahanan bukan masalah pada Galaxy Watch8. Dengan pelbagai sokongan penarafan, peranti ini sesuai untuk digunakan dalam pelbagai jenis aktiviti dan juga keadaan.

Untuk kawalan, terdapat dua butang pada Galaxy Watch8 yang diletakkan di sebelah kanan iaitu butang kuasa dan juga butang back. Samsung tidak lagi meletakkan kemasan berwarna pada kedua-dua butang seperti mana pada Galaxy Watch7 yang terdapat kemasan warna jingga pada butang kuasa dan putih pada butang back. Selain itu, butang ini turut boleh diubah suai untuk dijadikan sebagai butang pintasan.

Samsung masih menawarkan dua pilihan saiz dan skrin untuk Galaxy Watch8 sekaligus pengguna mempunyai pilihan mengikut kesesuaian. Untuk 40mm, ia menggunakan skrin bersaiz 1.34-inci manakala untuk 44mm menggunakan skrin bersaiz 1.47-inci.

Kedua-dua varian ini menggunakan skrin Super AMOLED dan menyokong kecerahan puncak yang lebih tinggi iaitu 3000 nits, memberikan pengalaman visual yang lebih baik untuk penggunaan luar. Tidak ketinggalan, skrin peranti turut dilindungi dengan sapphire glass yang tahan lasak.

Prestasi

Berbeza dengan rekaan yang menerima pelbagai peningkatan, untuk prestasi Galaxy Watch8 menggunakan cip sama yang digunakan pada Galaxy Watch7 iaitu cip Exynos W1000. Cip menggunakan teknologi binaan 3nm dengan konfigurasi 5 teras. Dari segi konfigurasi memori, peranti ini dilengkapi dengan 2GB RAM dan storan dalaman 32GB.

Walaupun dikuasakan dengan cip yang sama namun prestasi yang ditawarkan sememangnya mencukupi. Sepanjang penggunaan kami, tiada sebarang masalah yang dihadapi semua aplikasi dapat dijalankan dengan sangat lancar dan baik. Pengalaman buka dan tutup aplikasi juga pantas tanpa sebarang isu lengah masa.

Untuk prestasi dari segi penjejakan kesihatan, Samsung hadir dengan pelbagai ciri menarik yang dapat membantu pengguna membina kehidupan yang lebih sihat daripada tidur, permakanan dan senaman. Untuk tidur ciri baru yang dibawakan adalah seperti Bedtime Guidance dan juga Vascular Load. Ciri ini membantu mewujudkan persekitaran tidur yang optimum.

Ciri Antioxidant Index turut dimuatkan untuk mengukur paras karotenoid yang membantu pengguna untuk membuat pilihan gaya hidup yang lebih baik. Selain itu, pengguna boleh mencipta pelan latihan dan bersaing dengan rakan melalui ciri Running Coach dan Together. Selain itu, terdapat juga ciri lain seperti High Stress Alert, Mindfulness Tracker dan Energy Score.

Peranti ini turut menyokong pelbagai mod sukan dan senaman dengan beberapa mod boleh dikesan secara automatik. Tidak ketinggalan, pengguna turut boleh menetapkan keupayaan untuk berlatih dalam kadar zon denyutan jantung yang tertentu. Kemampuan GPS turut dipertingkat dengan sokongan Dual-Frequency GPS untuk ketepatan penjejakan yang lebih baik.

Sistem operasi

Menjadikan Galaxy Watch8 lebih menarik, ia merupakan jam tangan pintar terawal hadir dengan sistem operasi Wear OS 6 dengan antara muka One UI 8 Watch. Bukan itu sahaja, Galaxy Watch8 turut menyokong intergrasi Gemini yang merupakan pembantu AI generasi baru dari Google.

Pengguna boleh mengakses Gemini secara terus dari pergelangan tangan dengan menggunakan arahan suara. Dengan adanya akses Gemini, pelbagai fungsi telefon kini boleh dilakukan terus melalui jam sahaja. Namun begitu, untuk mengakses Gemini peranti perlu disambungkan terlebih dahulu sebelum boleh digunakan.

One UI 8 Watch turut hadir dengan beberapa perubahan menarik seperti Tiles kini lebih interaktif dan boleh disusun mengikut keutamaan. Perubahan ini memberikan pengalaman penggunaan yang lebih baik dan efisien. Terdapat juga ciri baru iaitu Now Bar yang memaparkan notifikasi pada skrin utama untuk kawalan ringkas dan akses pantas kepada aktiviti atau aplikasi yang sedang digunakan.

Bagi pemantauan kesihatan yang mendalam ia boleh dilakukan melalui aplikasi Samsung Health. Tidak ketinggalan, ia juga menyokong pembayaran tunai melalui NFC dengan menggunakan Samsung Pay atau Google Wallet. Harus diingatkan, untuk mendapatkan potensi penuh Galaxy Watch8 anda perlu menggunakannya bersama dengan peranti Samsung.

Bateri

Tidak hanya rekaan, Galaxy Watch8 turut menerima sedikit peningkatan pada kapasiti bateri. Kami menggunakan Galaxy Watch8 bersaiz 44mm yang dimuatkan dengan bateri 435mAh. Tidak dapat dinafikan, peningkatan kapasiti bateri ini tidaklah begitu ketara namun harus diberi pujian.

Ketahanan bateri Galaxy Watch8 mungkin boleh dikatakan baik untuk penggunaan biasa. Namun, untuk penggunaan yang aktif dengan pelbagai ciri dihidupkan ketahanan bateri yang diberikan sekadar memuaskan. Aktiviti senaman selama 30 minit dengan ciri GPS diaktifkan ia menggunakan sekitar 5% bateri.

Secara purata, ketahanan bateri yang ditawarkan oleh Galaxy Watch8 adalah sekitar 30 hingga 35 jam bergantung kepada penggunaan. Namun harus diingatkan, setiap pengguna mempunyai penggunaan yang berbeza jadi jangka hayat bateri mungkin berbeza.

Dari segi pengecasan, Galaxy Watch8 menyokong pengecasan yang agak pantas. Untuk 20 minit pengecasan ia mampu memberikan 45% bateri manakala untuk pengecasan penuh ia memerlukan sekitar 1 jam 20 minit, dari 0 ke 100%.

Kesimpulan

Mungkin boleh dikatakan Galaxy Watch8 bukan sekadar jam pintar biasa tetapi ia adalah gabungan gaya dan teknologi. Perubahan yang dibawakan oleh Samsung pada Galaxy Watch8 menjadikan ia sebagai sebuah jam tangan pintar yang lengkap.

ARTIKEL BERKAITAN