Selepas menawarkan AKASO 360 di Malaysia, AKASO kini sedia untuk menawarkan satu lagi kamera aksi kompak yang dipanggil sebagai AKASO Keychain 2.

AKASO Keychain 2 hadir dengan rekaan yang ringan dan kompak dengan berat hanya 86 gram sahaja. Kamera aksi ini sesuai untuk pengguna yang mahukan rakaman berkualiti tanpa rasa terbeban.

Kamera aksi ini hadir dengan skrin sentuh bersaiz 1.3-inci yang terang untuk memudahkan pengguna mengendalikannya. Walaupun hadir dengan saiz yang kecil, AKASO Keychain 2 ini menyokong rakaman video sehingga 4K 30fps dan foto sehingga 20MP.
Turut menyokong penstabilan 6-axis untuk memastikan rakaman lebih lancar tanpa gegaran semasa melakukan aktiviti seperti berlari, berbasikal atau bergerak aktif. Untuk video, ia hadir dengan beberapa mod video menarik seperti super time lapse, time lapse, hyperlapse, slow motion dan driving mode. Manakala untuk imej, ia menyokong mod seperti time-lapse photos, burst shots, timer dan light painting.

Dimuatkan dengan bateri 1050mAh yang mampu bertahan sehingga 180 minit untuk rakaman 1080p. Menyokong penarafan IPX6 dan mampu menyelam sehingga 30 meter dengan kerangka khas. Di Malaysia, AKASO Keychain 2 ini dijual pada harga RM799.