Close

HUAWEI Watch Ultimate 2 turut tiba di Malaysia dengan harga bermula RM3499

Seiring dengan ketibaan jam tangan pintar baru iaitu siri GT 6, HUAWEI turut memperkenalkan Watch Ultimate 2. Model ini memfokuskan kepada ciri yang lebih ekstrem berbanding generasi sebelumnya.

Watch Ultimate 2 tampil dengan reka bentuk lebih menonjol dan premium, disertakan dua pilihan warna iaitu hitam dan biru. Menggunakan rekaan berbentuk bulat, namun dengan penambahan rangka berbentuk oktagon dengan bezel seramik untuk memberi rupa yang lebih lasak dan eksklusif. Menggunakan bahan binaan Zirconium Liquid Metal untuk ketahanan yang lebih baik dan skrin dilindungi sapphire glass.

Dilengkapi skrin AMOLED LTPO 2.0 berukuran 1.5 inci dengan resolusi 466 x 466 piksel dan kecerahan puncak sehingga 3500 nits, menjadikannya mudah dilihat walaupun dalam cahaya matahari terik atau ketika berada di dalam air. Ciri paling menarik yang dibawakan pada peranti ini adalah ketahanan menyelam sehingga 150 meter, sistem komunikasi sonar dalam air dan teknologi X-Tap yang dinaik taraf.

Teknologi TruSense turut menyokong X-Tap untuk penjejakan kesihatan yang lebih tepat. X-Tap diletakkan di antara dua crown untuk akses pantas kepada ciri kesihatan seperti ECG, degupan jantung dan fungsi lain dengan hanya melalui satu sentuhan.

Selain itu, ia dilengkapi mod profesional ekspedisi yang membolehkan pengguna memuat turun peta offline berserta dengan laluan. Antara ciri lain yang turut dimuatkan seperti fall detection, kawalan kamera aksi pihak ketiga, peta padang golf interaktif, perkongsian trajektori pukulan, sistem pembayaran dan akses kepada AppGallery versi jam.

Untuk jangka hayat bateri, HUAWEI mendakwa ia mampu bertahan sehingga 4.5 hari untuk penggunaan standard dan meningkat sehingga 11 hari untuk pengguna yang lebih ringan. Spesifikasi lain yang turut dibawakan seperti NFC, Bluetooth 5.2, pembesar suara, mikrofon dan eSIM.

Di Malaysia, HUAWEI Watch Ultimate dijual pada harga bermula RM3499 dan ditawarkan dalam dua pilihan warna iaitu Biru dan juga Hitam. Bagi yang berminat, peranti ini boleh ditempah bermula hari ini dengan setiap akan menerima hadiah percuma bernilai RM1305.

ARTIKEL BERKAITAN