Menjelang ketibaan siri Samsung Galaxy S26, banyak maklumat mengenai peranti tersebut telah didedahkan.
Terbaru, terdapat laporan mendedahkan Galaxy S26 Ultra akan menggunakan cip terbaru dari Qualcomm iaitu Snapdragon 8 Elite Gen 5 untuk pasaran global. Laporan tersebut merujuk kepada dokumen FCC yang tertiris, memperlihatkan dua nombor model Galaxy S26 Ultra iaitu SM-S948B dan SM-S948U.
Kod model SM-S948B merujuk kepada versi antarabangsa sementara SM-S948U pula adalah versi yang ditawarkan di bawah syarikat telekomunikasi untuk pasaran Amerika Syarikat. Bermaksud, Galaxy S26 Ultra akan ditawarkan dalam satu pilihan cip sahaja iaitu Snapdragon 8 Elite Gen 5.
Walau bagaimanapun, penawaran ini mungkin berbeza untuk Galaxy S26 dan Galaxy S26+. Menurut beberapa laporan, kedua-dua model tersebut mungkin akan ditawarkan dengan dua pilihan cip iaitu Qualcomm dan Exynos, mengikut kepada pasaran.