Apple mungkin akan menggunakan teknologi skrin atau panel baru pada iPhone 18 Pro dan 18 Pro Max.

Menurut laporan, Apple merancang untuk menggunakan panel OLED LTPO+ generasi baru bagi menggantikan teknologi LTPO yang digunakan ketika ini. Dengan menggunakan panel generasi baru ini, ia membolehkan Apple meletakkan pengimbas inframerah (IR) Face ID di bawah skrin.
Lebih menarik, laporan lain mendedahkan Apple mungkin akan turut menggunakan kamera swafoto di bawah skrin sepenuhnya dan perubahan ini tidak menjejaskan kualiti imej. Ketika ini, hanya dua pengeluar sahaja yang mampu menghasilkan panel OLED LTPO+ iaitu Samsung Display dan LG Display.
Laporan sama turut menyatakan, panel OLED LTPO+ akan turut digunakan pada barisan produk baru Apple yang lain seperti MacBook Pro M6. Sekiranya laporan ini tepat, kita mungkin boleh menjangkakan satu perubahan besar pada rekaan skrin dan berkemungkinan Dynamic Island akan dihapuskan pada model Pro.