Indonesia bakal menjadi negara seterusnya yang melaksanakan larangan media sosial untuk kanak-kanak bawah umur 16 tahun bermula 28 Mac ini.
Menurut Menteri Komunikasi dan Digital iaitu Meutya Hafid, langkah ini diambil untuk melindungi kanak-kanak bawah 16 tahun dari penipuan, buli siber, pornografi dalam talian dan paling merisaukan adalah ketagihan media sosial.

Melalui perlaksanaan ini, semua akaun media sosial milik kanak-kanak bawah 16 tahun akan mula dinyahaktifkan. Antara plaform yang terkesan dengan perlaksanaan ini adalah YouTube, TikTok, Facebook, Instagram, Thread, X, Bigolive, dan Roblox.
Proses tersebut akan dijalankan secara berperingkat sehingga semua platform mematuhi peraturan yang ditetapkan. Beberapa negara lain seperti India dan Perancis turut merancang untuk melaksanakan larangan yang sama.
Setakat ini, hanya Australia sahaja yang telah melaksanakan larangan tersebut dengan denda sekitar A$49.5 juta (RM 138 juta) akan dikenakan kepada platform sekiranya gagal menghalang pengguna bawah umur.
Pelaksanaan yang sama akan turut dilakukan di Malaysia yang dijangka bermula Julai 2026. Perbincangan dengan penyedia plaform juga telah dimulakan untuk mengenal pasti pendekatan paling berkesan dan ia akan dilaksanakan selaras dengan Akta Keselamatan Dalam Talian (OnSA).