OnePlus secara rasmi memperkenalkan satu lagi peranti yang memfokuskan kepada permainan iaitu OnePlus Ace 6 Ultra. Merupakan model paling berkuasa dalam siri Ace 6 setakat ini.

OnePlus Ace 6 Ultra dilengkapi dengan skrin OLED bersaiz 6.78-inci yang menyokong paparan 165Hz dan kecerahan puncak 3600 nits. Dikuasakan dengan cip Dimensity 9500 yang dipadankan dengan RAM sehingga 16GB dan storan dalaman sehingga 1TB.

Peranti ini turut dilengkapi dengan GPU Mali-G1 Ultra 12-teras yang menjanjikan peningkatan prestasi grafik dua kali ganda berbanding generasi sebelumnya. OnePlus mendakwa, beberapa permainan popular seperti League of Legends: Wild Rift, Clash of Clans, Soul Knight dan Subway Surfers boleh dimainkan pada 165fps.
Untuk fotografi, ia hadir dengan tetapan dwi-kamera belakang dengan sensor utama 50MP OIS + 8MP Ultra Lebar dan 16MP untuk swafoto. Dimuatkan dengan bateri berkapasiti 8600mAh, antara yang terbesar pernah digunakan pada peranti OnePlus dan menyokong pengecasan 120W.

Menariknya, OnePlus turut memperkenalkan aksesori khas yang dijual berasingan. Aksesori khas ini dilengkapi dengan antena tambahan, sokongan USB-C, bicu audio 3.5mm, sistem kipas penyejuk magnetik dan juga empat butang tambahan.
Di China, OnePlus Ace 6 Ultra ini dijual pada harga bermula CNY3800 (RM2194) dan mencapai sehingga CNY5400 (RM3121).