vivo secara rasmi memperkenalkan fon lipat baru mereka iaitu vivo X Fold6. Peranti ini hadir dengan pelbagai peningkatan yang ketara berbanding model sebelumnya.

vivo X Fold6 hadir dengan skrin utama bersaiz 6.5-inci AMOLED, manakala skrin kedua pula bersaiz 8.02-inci AMOLED. Kedua-dua skrin ini menyokong paparan 120Hz dan juga kecerahan puncak sehingga 5000 nits, memastikan kandungan skrin kekal jelas untuk penggunaan luar.

Dari segi prestasi, peranti ini dikuasakan dengan cip Dimensity 9500 Super yang dipadankan dengan 16GB RAM LPDDR5X Ultra dan storan dalaman sehingga 1TB UFS 4.1. Antara perkara menarik mengenai peranti ini adalah ia dimuatkan dengan kapasiti bateri sebesar 7000mAh yang menyokong pengecasan pantas 80W berwayar dan 40W tanpa wayar.

Tarikan utama pada vivo X Fold6 adalah pada bahagian kamera, dilengkapi dengan tetapan tri-kamera belakang dengan sensor utama 200MP + 50MP Ultra Lebar + 50MP Telefoto dengan 3x zum optik. Peranti ini turut menyokong aksesori tambahan ZEISS Teleconverter G2 yang menawarkan jarak fokus sehingga 200mm. Untuk kamera swafoto ia menggunakan sensor 20MP yang dimuatkan pada skrin utama dan skrin kedua.

Untuk spesifikasi lain, peranti ini hadir dengan penarafan IP59, pembesar suara jenis stereo dan menjalankan OriginOS 6 Fold yang berasaskan Android 16. Peranti ini turut dilengkapi dengan ciri baru Atomic Workbench, membolehkan ia menjalankan lima aplikasi serentak.

vivo X Fold6 ditawarkan dalam tiga pilihan warna iaitu Biru, Putih dan juga Hitam. Di China, peranti ini dijual pada harga bermula sekitar CNY 7999 (RM4787) untuk 12GB + 256GB dan CNY11,999 (RM7183) untuk 16GB + 1TB.