Puspakom Sdn. Bhd. (Puspakom) memperkenalkan sistem pemeriksaan kenderaan baru yang dibantu oleh kecerdasan buatan (AI).
Ketua Pegawai Eksekutif Puspakom, Mahmood Razak Bahman berkata, teknologi itu dihasilkan melalui kerjasama dengan syarikat teknologi tempatan, Keymag Sdn. Bhd., mengautomasikan pengesanan komponen dan kecacatan kenderaan melalui analisis imej pintar.

Sistem ini dikatakan mampu mengesan kecacatan seperti kakisan, kebocoran minyak, kerosakan sistem brek, kecacatan gandar dan kerosakan struktur dengan lebih konsisten, sekali gus meningkatkan kecekapan pemeriksaan dengan ketara.
Bukan itu sahaja, integrasi ini juga dapat meningkatkan konsistensi pemeriksaan dan memberikan pengalaman pelanggan yang lebih baik tanpa menjejaskan integriti pemeriksaan. Sistem pemeriksaan berkuasa AI ini juga dapat menjimatkan masa dengan pemeriksaan bawah kenderaan kini hanya mengambil masa sekitar satu minit berbanding sebelum ini 10 minit.
Sistem ini turut menyediakan rekod pemeriksaan digital sekaligus memperkukuh ketelusan dan menyokong pengesahan objektif sekiranya terdapat pemeriksaan yang dipertikai. Kesemua inovasi ini akan dilaksanakan secara berperingkat.