HONOR secara rasmi mengumumkan Robot Phone di China, sebelum ini HONOR telahpun memperlihatkan konsep rekaan peranti tersebut pada acara MWC 2026 dan peranti ini dilabel sebagai ‘spesis’ baru dalam segmen telefon pintar.

HONOR Robot Phone dibangunkan dengan kerjasama syarikat teknologi pengimejan profesional iaitu ARRI, jenama kamera filem terkemuka. Peranti ini merupakan sebuah peranti yang mengabungkan kecerdasan buatan (AI) dan juga gimbal mekanikal.

Peranti ini dilengkapi dengan sistem gimbal mekanikal titanium 4-DoF yang boleh berpusing dan menoleh ke pelbagai sudut secara bebas. Sistem gimbal tersebut menggunakan motor mikro yang dibangunkan sendiri oleh HONOR. Saiz motor mikro yang digunakan adalah 70% lebih kecil berbanding kebanyakan motor dalam industri. Selain itu, seni bina mekanikal ini menyokong sistem penstabilan gimbal tiga paksi.
Untuk spesifikasi, HONOR Robot Phone hadir dengan skrin OLED bersaiz 6.31-inci dengan paparan 120Hz dan menyokong kecerahan puncak 6800 nits. Dikuasakan dengan cip Snapdragon 8 Elite Gen 5 yang dipadankan dengan RAM sehingga 16GB dan storan sehingga 1TB.

Menggunakan tetapan tri-kamera belakang dengan sensor utama 200MP dengan sistem gimbal + 50MP Ultra Lebar + 200MP Periskop Telefoto dan 50MP untuk swafoto. Sistem kamera ini menyokong rakaman 10-bit ARRI LogC3, ARRI Wide Gamut 3 serta ARRI Looks. Dimuatkan dengan bateri sebesar 7060mAh yang menyokong pengecasan pantas 120W berwayar dan 50W tanpa wayar.
Di China, HONOR Robot Phone dijual pada harga bermula sekitar CNY9999 (RM6202) untuk 12GB+512GB dan CNY 12,999 (RM8063) untuk 16GB+1TB.