Rekaan

Samsung Pro Keyboard tampil dengan rekaan yang premium dan menggunakan binaan aluminium yang nipis menjadikan ia mudah untuk dibawa ke mana sahaja. Samsung Pro Keyboard hanya setebal 5.3mm dengan berat sekitar 636 gram.


Dari segi ketahanan, Samsung Pro Keyboard menggunakan engsel jenis logam untuk memberi ketahanan yang lebih baik dan sedikit lebih lasak. Selain itu, terdapat juga kickstand tambahan dimuatkan untuk memberi kestabilan yang lebih baik ketika digunakan di atas riba. Kickstand tambahan ini juga mengurangkan risiko tablet mudah terbalik ketika menaip atau melakukan kerja.

Gabungan rekaan dan binaan Pro Keyboard ini boleh dikatakan sepadan dengan Galaxy Tab S12 Ultra yang turut membawa rekaan yang premium dan minimalis. Jadi, ini mungkin gandingan terbaik sekiranya anda menggunakan tablet ini.
Trackpad lebih besar

Untuk memberikan pengalaman navigasi yang lebih baik, Samsung kini membawakan sokongan trackpad yang lebih besar berbanding generasi sebelumnya. Menurut Samsung, trackpad pada Pro Keyboard kini 14.6% lebih besar sekali gus menjadikan navigasi lebih mudah dan semula jadi , terutamanya bagi pengguna yang banyak melakukan kerja menggunakan trackpad tanpa tetikus.

Bukan itu sahaja, trackpad ini turut menyokong kawalan melalui gestur seperti menatal atau zum, memberikan kawalan yang lebih mudah sekiranya anda melakukan pelbagai tugasan secara serentak. Secara teori, sokongan trackpad yang lebih besar memberi beberapa kelebihan, terutamanya dari segi keselesaan dan juga produktiviti semasa menggunakannya.
Pengalaman penggunaan

Gabungan Pro Keyboard dan juga Galaxy Tab S12 Ultra mampu memberikan pengalaman penggunaan yang hampir sama seperti sebuah komputer riba, lebih-lebih lagi bagi pengguna yang banyak melakukan kerja produktiviti seperti menaip dokumen, membalas e-mel atau melakukan kerja multitasking.

Pro Keyboard bukan sekadar memudahkan kerja menaip, malah menjadikan keseluruhan pengalaman menggunakan tablet terasa lebih matang dan praktikal untuk kegunaan harian. Apa yang menarik, Pro Keyboard turut kekal bersambung dengan tablet walaupun dalam keadaan tertutup. Ini bermakna pengguna hanya perlu membuka tablet dan terus boleh memulakan kerja tanpa perlu melalui proses sambungan aksesori setiap kali ingin menggunakannya.

Pada masa yang sama, rekaan Pro Keyboard yang nipis menjadikan gabungannya bersama tablet tidak terlalu tebal. Sekali gus, boleh menjadikan Galaxy Tab S12 Ultra sebagai sebuah workstation mudah alih yang lebih versatil, sama ada untuk bekerja di pejabat, ketika berada di luar atau sekadar menyelesaikan tugasan ringan di kafe.
Ciri unik pada Pro Keyboard

Dari segi produktiviti, Pro Keyboard turut dilengkapi beberapa kekunci khas yang memudahkan akses kepada fungsi penting tanpa perlu menyelongkar menu atau menggunakan beberapa langkah berbeza. Antaranya ialah kekunci DeX yang membolehkan pengguna beralih terus ke paparan desktop untuk pengalaman kerja yang lebih menyerupai komputer, serta AI Key yang memberikan akses pantas kepada fungsi kecerdasan buatan (AI).


Selain itu, terdapat juga Favorite Hot Key yang boleh diubah suai untuk membuka aplikasi pilihan pengguna hanya dengan satu kunci sahaja, sesuai untuk pengguna yang kerap menggunakan aplikasi tertentu dalam rutin kerja harian. Melengkapkan ciri ini, Pro Keyboard turut mempunyai lampu latar kekunci yang boleh dilaraskan mengikut keadaan, menjadikan pengalaman menaip lebih selesa walaupun ketika bekerja dalam persekitaran yang kurang terang.