Acer melalui acara COMPUTEX 2025 telah mengumumkan cincin pintar pertama mereka yang dikenali sebagai FreeSense Ring. Seperti namanya, peranti ini menawarkan pelbagai fungsi kesihatan dalam saiz yang kecil dan juga ringan.

FreeSense Ring dibina menggunakan aloi titanium dengan berat sekitar 2 hingga 3 gram bergantung kepada saiz. Peranti ini turut menyokong penarafan IP69 dan juga 5 ATM untuk membolehkan ia digunakan dalam pelbagai keadaan.
Untuk penjejak kesihatan, FreeSense Ring dilengkapi dengan sensor biometrik yang boleh mengukur kadar degupan jantung, tahap oksigen dalam darah (Sp02), HRV dan juga kualiti tidur. Data kesihatan pengguna yang dikumpul akan dianalisis melalui aplikasi khusus yang dikuasakan dengan AI. Melaluinya, ia akan memberikan cadangan tentang kesihatan dan juga membantu memahami keadaan kesihatan pengguna.

Acer mendakwa, FreeSense Ring tidak memerlukan sebarang langganan tambahan bermaksud pengguna boleh mengakses semua data yang diukur atau dinilai secara percuma. Malangnya, tiada maklumat mengenai harga rasmi, jangka hayat bateri dan ketersediaan yang dikongsi oleh Acer buat masa ini.