Close

Oakley Meta HSTN diperkenalkan – Rakaman video 3K dengan bateri 8 jam

Oakley dan Meta secara rasmi memperkenalkan cermin mata pintar pertama mereka yang dipanggil sebagai Oakley Meta HSTN. Berbeza dari apa yang ditawarkan oleh Ray-Ban Meta yang sesuai untuk pengguna kasual, Oakley Meta pula lebih memfokuskan kepada pengguna aktif atau atlet.

Oakley Meta ini dibina berasaskan kepada gaya cermin mata Oakley HSTN, menggabungkan rekaan menonjol bersama dengan teknologi yang terkini. Hadir dengan beberapa peningkatan yang lebih baik berbanding Ray-Ban Meta.

Peranti ini menyokong rakaman video yang lebih tinggi iaitu sehingga 3K berbanding 1080p pada Ray-Ban Meta. Terdapat lampu LED dimuatkan di bahagian kanan untuk menunjukkan jika sedang merakam. Menyokong 5 mikrofon terbina untuk rakaman audio dan panggilan yang lebih jelas dan baik.

Terdapat juga pembesar suara yang diletakkan pada bahagian bingkai untuk memberikan pengalaman bunyi yang imersif. Peranti ini dilengkapi dengan Meta AI yang membolehkan pengguna mengawal Oakley Meta HSTN dengan arahan suara tanpa perlu menyentuh. Peranti ini turut mempunyai butang fizikal dan pad sentuh untuk kawalan rakaman.

Oakley Meta HSTN ini menyokong penarafan kalis IPX4 sekaligus membolehkan ia digunakan untuk pelbagai aktiviti luar. Dari segi ketahanan bateri, ia mampu bertahan sehingga 8 jam iaitu dua kali ganda lebih panjang berbanding Ray-Ban Meta. Mampu mengecas 50% hanya dalam 20 minit dan boleh bertahan sehingga 48 jam dengan bekas pengecas.

Oakley Meta HSTN dijual pada harga bermula sekitar $399 (RM1698) dengan pilihan warna Warm Grey, Black, Brown Smoke, dan Clear bersama dengan 5 pilihan kanta, tersedia bermula musim panas ini. Untuk pra-tempah bermula 11 Julai ini, hanya Desert 24k Prizm Polar Limited Edition sahaja yang dijual dengan harga sekitar $499 (RM 2123).

Untuk permulaan, peranti ini akan tersedia di Amerika Syarikat, Kanada, United Kingdom, Ireland, Perancis, Itali, Sepanyol, Austria, Belgium, Australia, Jerman, Sweden, Norway, Finland dan Denmark. Seterusnya, ia akan diperluaskan di beberapa negara lain seperti Mexico, India, dan Emiriah Arab Bersatu menjelang akhir tahun ini.

ARTIKEL BERKAITAN