Close

Pandang pertama Samsung Galaxy S25 FE – Tiket mampu milik ke dunia Galaxy AI

Seperti yang kita tahu, siri Fan Edition (FE) dari Samsung lebih memfokuskan kepada penawaran harga lebih mampu milik dalam masa yang sama menawarkan kemampuan setanding peranti andalan. Untuk kali ini, Samsung membawakan model baru iaitu Galaxy S25 FE.

Jika dilihat dengan sekali pandang, tiada perubahan ketara dari segi rekaan, namun selepas memegang untuk kali pertama peranti ini terasa lebih ringan dan nipis berbanding model sebelumnya. Perubahan ini sememangnya terasa kerana Galaxy S25 FE hanya setebal 7.4mm dan berat 190 gram. Sebagai perbandingan, Galaxy S24 FE mempunyai ketebalan 8.0mm dan berat 213 gram.

Samsung masih membawakan rekaan yang minimalis dan premium pada Galaxy S25 FE. Bukan itu sahaja, rekaan sisi berkotak yang dipadankan dengan kemasan jenis kesat turut dikekalkan. Gabungan ini menjadikan ia lebih selesa apabila dipegang dalam masa yang sama memberikan cengkaman yang lebih baik.

Galaxy S25 FE menggunakan bingkai dari binaan Enhanced Armor Aluminium untuk menjadikan ia sedikit lebih lasak. Turut menyokong penarafan IP68 untuk menjadikan peranti ini kalis debu dan juga air. Tersedia dalam empat pilihan warna menarik iaitu Navy, IcyBlue, Jet Black dan White. Warna yang kami gunakana adalah Navy, warna paling menonjol dalam Galaxy S25 FE.

Kekal menggunakan skrin bersaiz 6.7-inci Dynamic AMOLED 2X dengan resolusi FHD+ dan menyokong paparan 120Hz. Samsung menyatakan, rekaan bingkai pada Galaxy S25 FE adalah lebih nipis berbanding model sebelumnya. Namun begitu, rekaan bingkai tidak simetri dengan bahagian bawah lebih tebal sementara bahagian atas lebih nipis.

Skrin peranti ini dilindungi dengan Gorilla Glass Victus+ yang menawarkan ketahanan yang lebih baik dan juga lasak. Keupayaan skrin Galaxy S25 FE sememangnya cukup baik, terang dan juga responsif kerana ia menyokong teknologi Vision Booster dan kecerahan puncak sehingga 1900 nits.

Dari segi prestasi, ia dikuasakan dengan cip Exynos 2400 iaitu cip yang sama digunakan pada Galaxy S24 dan Galaxy S24+. Untuk konfigurasi memori, ia dilengkapi dengan 8GB RAM dan storan dalaman sehingga 512GB. Pada percubaan ringkas kami, peranti ini berjaya menjalankan tugasnya dengan sangat baik tanpa sebarang masalah.

Samsung menawarkan peningkatan yang lebih baik pada kapasiti bateri dan juga teknologi pengecasan pada Galaxy S25 FE. Dimuatkan dengan kapasiti bateri lebih besar iaitu 4900mAh berbanding 4700mAh pada model sebelumnya. Lebih menarik, Galaxy S25 FE kini menyokong pengecasan berwayar yang lebih pantas iaitu 45W dan pengecasan tanpa wayar Qi2 15W.

Menggunakan tetapan tri-kamera belakang dengan sensor utama 50MP + 12MP Ultra Lebar + 8MP Telefoto. Manakala untuk swafoto, ia menggunakan sensor yang lebih besar iaitu 12MP berbanding 10MP pada Galaxy S24 FE. Kami belum lagi dapat mencuba keupayaan penuh kamera peranti ini. Namun, kami sempat mengambil beberapa sampel gambar menggunakan kamera peranti ini.

Galaxy S25 FE merupakan peranti pertama dalam siri Galaxy S25 yang menjalankan sistem operasi One UI 8 berasaskan Android 16. Sistem operasi ini dioptimumkan dengan agen AI multimodal bagi membolehkan peranti dan pengguna berinteraksi dengan lebih semula jadi.

Peranti ini turut dimuatkan dengan pelbagai fungsi Galaxy AI yang tersedia pada siri Galaxy S25. Antara fungsi yang tersedia adalah seperti Sketch to image, Note assist, Now Bar, Now Brief, Live translate, Gemini Live dan lain-lain. Samsung turut menjanjikan kemas kini sehingga 7 tahun untuk Android dan keselamatan.

Secara keseluruhan, Galaxy S25 FE mungkin boleh dikatakan sebagai pilihan yang menarik kerana ditawrakan dengan pakej yang lengkap. Harga jualan, spesifikasi dan sokongan kemas kini adalah kelebihan terbesar untuk peranti ini, Jadi, tidak hairanlah terdapat pengguna yang lebih memilih model ini berbanding yang lain.

ARTIKEL BERKAITAN