Close

CMF Headphone Pro diperkenalkan – Bateri 100 jam dengan harga RM429

Sub-jenama kepada Nothing iaitu CMF, memperkenalkan peranti terbaru mereka iaitu Headphone Pro. Merupakan fon kepala pertama yang ditawarkan oleh CMF.

Headphone Pro hadir dengan rekaan tradisional iaitu jenis bulat dengan identiti CMF. Menariknya, pad telinga atau ear cushion fon kepala ini boleh ubah suai atau ditukar mengikut kepada kesesuaian pengguna. Dari segi ketahanan, fon kepala ini menyokong penarafan IPX2.

Fon kepala ini hadir dengan pemacu audio 40mm yang meyokong codec LDAC dan Hi-Res audio tanpa wayar. Turut hadir dengan mod ANC yang mampu mengurangkan hingar sehingga 99% secara automatik mengikut kepada persekitaran. Menyokong sambungan Bluetooh 5.4 dan kabel audio 3.5mm serta Google Fast Pair dan Microsft Swift Pair untuk sambungan pantas.

Headphone Pro dilengkapi dengan beberapa butang kawalan fizikal untuk memudahkan akses seperti butang laras audio berbentuk bulat, butang fizikal untuk ubah kekuatan bass atau treble dan juga butang pantas akses pantas untuk ChatGPT atau Nothing Space.

Fon kepala ini turut dimuatkan dengan ciri personal sound profile yang dibangunkan oleh Audiodo, membolehkan audio ditala mengikut kepada telinga pengguna. Dimuatkan dengan bateri 720mAh yang mampu menawarkan waktu penggunaan sehingga 50 jam dengan mod ANC dan meningkat kepada 100 jam tanpa mod ANC. Menyokong pengecasan pantas melalui USB-C dengan pengecasan 5 minit memberikan waktu penggunaan sehingga 8 jam.

Di Malaysia, CMF Headphone Pro ditawarkan pada harga RM429 sementara pad telinga gantian pula dijual pada harga RM89 sepasang dengan pilihan warna oren dan hijau. Walau bagaimanapun, tiada maklumat bilakah fon kepala ini akan mula dijual di Malaysia.

ARTIKEL BERKAITAN