Close

Siri HUAWEI Watch GT 6 kini boleh dibeli di Malaysia – Harga bermula RM999

Siri HUAWEI Watch GT 6 kini boleh dibeli di Malaysia, hadir dengan dua pilihan varian iaitu Watch GT 6 dan Watch GT 6 Pro.

Siri HUAWEI Watch GT 6 tampil dengan beberapa peningkatan seperti jangka hayat bateri yang lebih panjang, penjejakan lokasi yang lebih tepat serta ciri kecergasan dan kesihatan yang lebih lengkap.

HUAWEI Watch GT 6 Pro ditawarkan dalam satu pilihan saiz sahaja iaitu 46mm, tiada lagi pilihan saiz 42mm. Menggunakan skrin AMOLED bersaiz 1.47-inci dengan resolusi 466 × 466 piksel dan menyokong kecerahan puncak 3000 nits. Hadir dengan kemasan dan rekaan mewah dengan binaan dari aloi titanium yang dipadankan dengan sapphire glass pada skrin.

HUAWEI menggunakan teknologi bateri baru yang dipanggil “high-silicon stacked custom-shaped batteries”. Bateri ini mengandungi 10% lebih silikon dengan peningkatan ketumpatan tenaga sehingga 37%. Dengan teknologi ini, peranti ini mampu bertahan sehingga 21 hari untuk penggunaan ringan, 12 hari untuk penggunaan biasa dan 7 hari dengan paparan sentiasa aktif.

Dari segi navigasi, HUAWEI memperkenalkan antena baru bersama algoritma penjejakan yang lebih tepat. Membolehkan ia menawarkan peningkatan ketepatan lokasi sehingga 20% dengan sokongan dwi-jalur untuk semua sistem satelit utama. Sensor kesihatan dan algoritma TruSense turut dinaik taraf, dengan ketepatan sehingga 98% kadar degupan jantung untuk aktiviti berbasikal dan 95% untuk larian denai.

Sistem penjejakan baru kini menyokong paparan metrik masa nyata untuk purata kecerunan dan julat kecerunan. HUAWEI turut memberikan tumpuan kepada sukan trail running dan golf, menyokong peta vektor dengan kebolehan zum tanpa had. Peranti ini menyokong penarafan IP69 dan 5 ATM yang sesuai untuk aktiviti air. Dari segi sambungan, ia menyokong NFC, GNSS, pembesar suara serta mikrofon untuk panggilan Bluetooth.

Manakala untuk HUAWEI Watch GT 6, ia hadir dalam dua pilihan saiz iaitu 46 mm dan 41 mm. Untuk saiz 46 mm ia menggunakan skrin AMOLED bersaiz 1.47-inci sementara untuk 41 mm menggunakan skrin AMOLED bersaiz 1.32-inci. Turut menggunakan rekaan dan kemasan yang mewah dengan binaan stainless steel.

HUAWEI Watch GT 6 ini turut dilengkapi dengan pelbagai sensor seperti accelerometer, gyroscope, magnetometer, kadar denyutan jantung optikal dan lain-lain. Untuk 46 mm, ia menawarkan ketahanan bateri sehingga 21 hari untuk penggunaan ringan dan 12 hari untuk penggunaan biasa. Manakala untuk 41 mm, ia mampu bertahan sehingga 14 hari untuk penggunaan ringan dan 7 hari untuk penggunaan biasa.

Seperti model Pro, HUAWEI GT 6 turut menyokong sensor dan algoritma TruSense baru yang menawarkan ketepatan kadar denyutan jantung sehingga 98% untuk sukan berbasikal dan 95% untuk larian denai. Turut menyokong penarafan IP69 dan 5 ATM yang sesuai untuk aktiviti air. Spesifikasi lain yang turut dimuatkan seperti NFC, Bluetooth 6.0, pembesar suara dan mikrofon.

Di Malaysia, Watch GT 6 dijual pada harga bermula RM999 manakala Watch GT 6 Pro pula dijual pada harga bermula RM1299. Bagi yang berminat, peranti ini boleh dibeli di semua pengedar rasmi HUAWEI Malaysia.

ARTIKEL BERKAITAN