Close

4 perkara menarik tentang Xiaomi Pad mini

Kebanyakkan tablet yang ada di pasaran ketika ini hadir dengan saiz yang besar. Namun begitu, Xiaomi hadir dengan penawaran yang menarik melalui Xiaomi Pad Mini. Seperti namanya, tablet ini hadir dengan saiz yang kecil dan menyasarkan kepada pengguna yang menyukai tablet seperti iPad mini.

Rekaan

Dari segi rekaan, Xiaomi Pad Mini tampil dengan rekaan yang premium dan minimalis. Menggunakan rekaan yang nipis yang sangat selesa bila dipegang. Tablet ni hanya setebal 6.46mm dan berat hanya sekitar 326 gram.

Xiaomi Pad Mini menggunakan binaan unibody metal dengan rekaan sisi jenis rata dan kemasan jenis kesat pada panel belakang. Menarik mengenai tablet ini, ia hadir dengan dua sambungan USB-C yang diletakkan ditengah dan juga dibawah. Dengan dua sambungan USB-C ia memberi pengguna lebih fleksibili kerana kedua-duanya menyokong untuk pengecasan.

Secara keseluruhan, rekaaan kecil dan juga nipis memberikan kelebihan dan menjadikan tablet ini lebih mudah untuk dipegang dalam masa yang sama memberikan pengalaman penggunaan yang lebih baik.

Skrin

Xiaomi Pad Mini hadir dengan skrin bersaiz 8.8-inci menggunakan panel IPS LCD dengan resolusi 3008×1880. Menyokong paparan yang tinggi iaitu 165Hz menjadikan setiap tatalan dan animasi terasa sangat lancar.

Skrin peranti ini mampu memberikan perincian dan warna yang cukup baik biarpun hanya menyokong kecerahan puncak 680 nits sahaja. Saiz skrin ini boleh dikatakan cukup ideal untuk produktiviti, melukis atau menikmati pelbagai kandungan.

Prestasi

Tablet ini dikuasakan dengan cip Dimensity 9400+ merupakan cip yang sama digunakan pada peranti Xiaomi 15T Pro. Cip ini dibina oleh TSMC dengan teknologi binaan 3nm yang dipadankan dengan GPU Immortalis-G925 MC12 yang menjanjikan prestasi grafik yang lebih baik.

Melengkapkan tablet ini, ia hadir dengan konfigurasi RAM sehingga 12GB LPDDR5X dan storan dalaman sehingga 512GB UFS 4.1. Kemampuan prestasi yang ditawarkan pada Xiaomi Pad Mini sememangnya sangat baik. Tiada sebarang masalah berkenaan prestasi dan tiada masalah kepanasan yang melampau.

Bateri

Walaupun hadir dengan rekaan yang kecil, namun tablet ini dimuatkan dengan kapasiti bateri yang besar iaitu 7500mAh. Menurut Xiaomi, tablet ini mampu bertahan sekitar 15 jam untuk tontonan video dan menurun kepada 12 jam untuk penggunaan biasa.

Dari segi pengecasan, tablet ini menyokong pengecasan pantas 67W yang mampu mengecas 58% hanya dalam masa 38 minit sahaja. Lebih menariknya, tablet ini juga boleh digunakan sebagai powerbank kerana menyokong pengecasan berbalik berwayar 18W.

Di Malaysia, Xiaomi Pad Mini dijual pada harga RM2299 untuk 12GB + 512GB ditawarkan dalam dua pilihan warna iaitu Purple dan juga Gray.

ARTIKEL BERKAITAN