Kereta Elektrik (EV) pertama dari Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua) akan diperkenalkan pada penghujung November ini. Perkara tersebut dikongsi oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

EV pertama dari Perodua ini akan ditawarkan pada harga mampu milik dan menepati kehendak pengguna serta boleh menjana ekonomi negara. Selain itu, ketibaan EV ini membuktikan syarikat tempatan mempunyai kepakaran dalam penyelidikan dan pembangunan yang bagus.

Malangnya, buat masa ini tiada maklumat mengenai spesifikasi penuh dan rekaan yang dikongsi. Namun begitu, Perodua sebelum ini telahpun berkongsi harga jualan untuk EV pertama mereka antara RM50,000 hingga RM80,000 dengan jarak gerak sekitar 400 km. Selain itu, EV ini akan ditawarkan melalui konsep sistem bateri secara sewaan yang boleh ditukar.