Seperti yang kita tahu, Perodua akan memperkenalkan kenderaan elektrik (EV) pertama mereka tidak lama lagi. Dalam perkembangan terbaru, EV pertama dari Perodua berkemungkinan akan ditawarkan pada harga sekitar RM80,000.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua iaitu Datuk Seri Zainal Abidin Ahmad, menyatakan EV pertama Perodua akan ditawarkan pada harga sekitar RM80,000. Namun begitu, harga tersebut tidak termasuk bateri kerana ianya akan tersedia secara berasingan dan perlu disewa.
Menurut beliau, cara terbaik untuk menawarkan EV pada harga tersebut adalah dengan menjualnya tanpa bateri. Pembeli perlu menyewa bateri secara pajakan atau leasing daripada Perodua. Melalui konsep ini, pemilik EV akan sentiasa mendapat bateri dalam keadaan baik dan boleh ditukar sekiranya terdapat masalah.
Selain itu, pemilik EV berpotensi untuk menerima teknologi bateri terkini sekiranya terdapat perubahan teknologi bateri. Dari sudut lain, pelupusan atau kitar semula bateri akan ditanggung sepenuhnya oleh pengeluar bukan pemilik EV.