Google mengumumkan ciri baru iaitu Personal Intelligences untuk Gemini. Ciri ini membolehkan Gemini memberi jawapan yang lebih peribadi dan relavan.

Personal Intelligence membolehkan Gemini mengakses data peribadi daripada aplikasi Google seperti Gmail, YouTube, Google Search dan Google Photos. Kelebihan utama ciri ini adalah mampu memberikan maklumat khusus daripada e-mel, foto, teks dan video peribadi dalam menjawab soalan pengguna dengan lebih cepat.

Walau bagaimanapun, ciri ini tidak diaktifkan secara automatik sebaliknya pengguna perlu mengaktifkan secara manual. Pengguna mempunyai pilihan aplikasi mana yang mahu disambungkan dan boleh mematikan sambungan pada bila-bila masa.
Apabila diaktifkan, Gemini tidak hanya menggunakan internet untuk mencari maklumat, namun turut menggunakan data dari aplikasi Google dan sejarah carian untuk menjawab soalan dengan lebih tepat mengikut konteks peribadi pengguna.
Ciri ini telahpun tersedia secara berperingkat dan Amerika Syarikat menjadi negara terawal menerimanya. Walau bagaimanapun, ciri ini hanya ditawarkan untuk pelanggan Google AI Pro dan AI Ultra, boleh digunakan merentasi pelbagai platform web, Android dan iOS.
Google menyatakan, privasi adalah keutamaan mereka dan tidak akan menggunakan data pengguna untuk melatih Gemini.