OnePlus dilaporkan bakal menamatkan atau menghentikan operasi mereka di beberapa pasaran global seawal April 2026.

Menurut sumber, OnePlus sedia untuk menghentikan operasi global mereka dengan beberapa kakitangan telahpun menerima pakej pampasan sebagai persediaan kepada penutupan. Laporan tersebut diperkuatkan dengan perletakkan jawatan Robin Liu iaitu CEO OnePlus India, sekaligus memberikan gambaran penstrukturan semula besar-besaran sedang berlaku.
Selepas ini, OnePlus akan memfokuskan kepada pasaran China. Walau bagaimanapun, OnePlus akan kekal di pasaran India, namun hanya menawarkan peranti kelas pertengahan dan mampu milik sahaja.
Krisis storan dan cip memori global dikatakan antara faktor langkah tersebut diambil. Selain itu, penamatan kerjasama strategik dengan Hasselblad dan kembalinya OnePlus menjadi sub-jenama kepada OPPO memberikan gambaran syarikat berada dalam fasa sukar.