Tesla secara rasmi memperkenalkan Model Y L untuk pasaran tempatan, merupakan sebuah SUV dengan konfigurasi tiga baris tempat duduk.

Model Y L adalah Model Y yang bersaiz lebih besar dengan beberapa perubahan pada bahagian luaran dan juga dalaman. Dari segi saiz, Model Y L adalah 4976mm panjang, 1920mm lebar, 1668mm tinggi dengan jarak roda 3040mm. Sebagai perbandingan, saiz Model Y adalah 4797mm panjang, 2129mm lebar, 1624mm dan jarak roda 2890mm.

Untuk bahagian dalaman, ia dilengkapi dengan skrin 16-inci di bahagian hadapan dan 8-inci di bahagian belakang. Turut menyokong pengecasan tanpa wayar dengan sistem audio baru dengan penambahan pembesar suara pada konsol tengah dan bumbung.

Dikuasakan dengan dwi-motor dengan pacuan semua roda yang mampu menghasilkan kuasa 340 kW (456hp) dan tork 567 Nm. Mampu memecut dari 0 ke 100 km/j dalam masa 5 saat dengan kelajuan maksimum 201 km/j. Model Y L ini dimuatkan dengan bateri 82 kWh (NMC) yang menawarkan jarak gerak sehingga 681 km (WLTP).
Dari segi pengecasan, ia menyokong pengecasan pantas DC sehingga 250kW dengan pengecasan 15 minit mampu memberikan jarak sekitar 288 km. Manakala, untuk pengecasan AC ia menyokong sehingga 11kW.

Di Malaysia, Tesla Model Y L dijual harga RM260K dengan penghantaran pertama dijangka bermula suku kedua 2026.