Instagram bakal memperluaskan ciri Teen Accounts di Malaysia tidak lama lagi. Ciri ini dibangunkan untuk memastikan remaja hanya melihat kandungan sesuai dengan umur pengguna.
Apa itu Teen Accounts untuk Instagram?

Teen Accounts adalah ciri baru yang dibangunkan untuk melindungi pengguna remaja. Ciri ini menggunakan pendekatan baru yang diinspirasikan dari penarafan kandungan 13+ seperti filem. Dengan ciri ini, semua kandungan yang dipapar akan disesuaikan mengikut kepada umur pengguna.
Adakah Teen Accounts memerlukan aplikasi Instagram yang lain?

Tidak, Teen Accounts tidak memerlukan aplikasi berasingan sebaliknya ia diintergrasikan dalam Instagram secara terus. Menurut Meta, semua pengguna bawah 18 tahun secara automatik akan dimasukkan ke dalam Teen Accounts, dan untuk menyahaktifkan ciri ini ia memerlukan kebenaran ibu bapa atau penjaga.
Apa yang dimaksudkan dengan penarafan kandungan 13+?

Instagram menyelaraskan garis panduan baru mengikut penarafan kandungan 13+. Garis panduan ini memberikan pengalaman penggunaan yang hampir sama seperti menonton filem dengan rating 13+.
Semua kandungan yang sensitif akan dikurangkan secara ketara dan kandungan aksi berisiko dan berbahaya akan dihadkan. Bukan itu sahaja, kandungan yang menggunakan bahasa kasar akan disembunyikan dan kandungan yang mengalakkan tingkah laku tidak sihat akan ditapis.
Apa perlindungan yang ditawarkan melalui Teen Accounts?

Teen Accounts menawarkan perlindungan yang menyeluruh merangkumi carian, kenalan dan juga kandungan. Akaun yang diletakkan dibawah Teen Accounts tidak boleh mengikuti akaun yang kerap berkongsi kandungan yang tidak sesuai.
Fungsi carian akan menyekat kata kunci yang sensitif dan kandungan dari Explores, Reels, Feeds dan Stories yang tidak bersesuai akan ditapis. Selain itu, Teen Accounts akan ditetapkan sebagai private dan kawalan dari ibu bapa atau penjaga kini lebih ketat.
Bilakah ciri ini akan tersedia?

Ciri ini akan dilancarkan secara berperingkat dan dijangka tersedia sepenuhnya dalam beberapa bulan akan datang.