RugOne jenama di bawah UleFone, telah memperkenalkan fon baru dengan ciri unik iaitu menyokong kamera aksi yang boleh ditanggal dari badan fon.

Fon ini dikenali sebagai RugOne Xsnap 7 Pro, merupakan sebuah fon tahan lasak dengan sokongan kamera aksi boleh tanggal. Kamera aksi ini menggunakan rekaan berbentuk kiub yang boleh ditanggal dan boleh disimpan secara magnetik apabila tidak digunakan.
Menariknya, kamera ini tidak memerlukan sebarang sambungan kabel sebaliknya menggunakan aplikasi khas untuk sambungan. Kamera ini menyokong rakaman video sehingga 2.7K pada 30fps dan mempunyai storan dalaman sebesar 64GB.

Selain boleh ditanggalkan, kamera ini menyokong penarafan kalis air dengan kedalaman sehingga 5 meter, menjadikannya lebih sesuai digunakan untuk aktiviti luar. Untuk spesifikasi, peranti ini hadir dengan skrin bersaiz 6.67-inci 120Hz, cip Dimensity 8400, kamera utama 50MP dan menyokong penarafan IP69K.
RugOne Xsnap 7 Pro akan diperlihatkan pada acara IFA Berlin dan dijangka akan ditawarkan secara global dengan harga jualan bermula €799 (RM3755). Tersedia dalam dua pilihan warna iaitu Classic Black dan Sand Dune.