Dua komputer riba baru ASUS iaitu ProArt P14 (H7606) dan ProArt P16 (H7607) kini boleh mula dipra-tempah di Malaysia.

Model ini direka khusus untuk pengguna kreatif dan pembangunan AI yang inginkan prestasi dan juga ketepatan warna. Kedua-dua komputer riba ini dikuasakan dengan NVIDIA RTX Spark menggabungkan GPU berasaskan seni bina Blackwell, CPU NVIDIA Grace, Tensor Cores generasi kelima dengan sokongan FP4 serta teknologi NVIDIA NVLink-C2C.

Antara spesifikasi lain yang dimuatkan seperti skrin ASUS Lumina Pro OLED dengan paparan 120Hz, kecerahan puncak sehingga 1600 nits, pengecasan 140W, RAM 128GB unified memory dan storan dalaman sehingga 2TB. Selain itu, rekaan kedua-dua komputer riba ini adalah 13% lebih nipis dan 16% lebih ringan berbanding generasi sebelumnya.

Di Malaysia, kedua-dua model ini dijual pada harga RM29,999 dan akan mula tersedia pada Oktober 2026. Bagi yang berminat, ProArt P14 dan ProArt P16 boleh dipra-tempah bermula 8 Oktober hingga 31 Oktober 2026.
Setiap pra-tempahan akan menerima ProArt Mouse MD301, sarung laptop eksklusif, serta pakej perisian premium termasuk Microsoft 365 Basic (1 tahun), Dropbox 500GB (6 bulan), Adobe Creative Cloud (3 bulan), AI Pro Subscription (1 tahun) dan Office Student 2024. Tidak ketinggalan, monitor ProArt PA279CDV yang bernilai RM4,250 turut diberikan selagi stok masih ada