Close

CMF Speaker S dan Speaker M kini rasmi di Malaysia dengan harga bermula RM259

Dua produk audio baru dari CMF iaitu Speaker S dan Speaker M kini tersedia di pasaran tempatan. Kedua-dua peranti ini hadir dengan rekaan yang unik seperti kotak susu dan ditawarkan dengan pilihan warna yang menonjol.

Untuk Speaker S, ia hadir dengan rekaan yang lebih kompak seperti namannya. Dimuatkan dengan 45mm full-range driver yang direka khas bersama dengan dua radiator pasif. Peranti ini mampu menghasilkan kuasa pada 10W RMS dengan julat frekuensi 70Hz hingga 20kHz.

Manakala untuk Speaker M, ia hadir dengan rekaan yang lebih besar dan terdapat pemegang pada bahagian atas untuk memudahkan ia dibawa. Menggunakan sistem audio yang lebih berkuasa dengan konfigurasi dual driver iaitu woofer 25W dan tweeter 10W. Gabungan ini mampu menghasilkan kuasa 35W RMS dengan julat frekuensi 60Hz hingga 20kHz.

Kedua-dua peranti menggunakan Algoritma Adaptive Tuning menganalisis audio yang dimainkan seterusnya mengoptimumkan keluaran serta tetapan EQ secara masa nyata. Dari segi sambungan, kedua-duanya menyokong NFC tap-to-pair, Google Fast Pair, Microsoft Swift Pair serta sambungan dua peranti serentak.

Sokongan audio USB-C turut tersedia untuk membolehkan audio dimainkan melalui sambungan kabel. Untuk codec yang disokong adalah AAC, SBC dan LC3. Tidak ketinggalan, kedua-dua peranti ini menyokong penarafan IP68 dan aplikasi Nothing X untuk tetapan audio serta EQ.

Speaker S dimuatkan dengan bateri sebesar 2600mAh yang menawarkan masa penggunaan sehingga 18 jam serta menyokong pengecasan 18W. Manakala, untuk Speaker M ia dimuatkan dengan bateri yang lebih besar iaitu 4900mAh yang turut menawarkan masa penggunaan sehingga 18 jam dan menyokong pengecasan yang sama iaitu 18W.

Di Malaysia, Speaker S dijual pada harga RM259 sementara untuk Speaker M pula dijual pada harga RM459. Bagi yang berminat, peranti ini akan mula ditawarkan bermula 3 November 2026.

ARTIKEL BERKAITAN