Kerajaan sedang mempertimbangkan untuk memperketatkan lagi proses verifikasi akaun WhatsApp bagi membanteras dan membendung kegiatan penipuan dalam talian yang semakin berleluasa menerusi platform tersebut.

Menteri Komunikasi iaitu Datuk Seri Fahmi Fadzil menyatakan perkara tersebut sedang diteliti susulan perbincangan dalam kalangan negara anggota Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (ITU). Menurut beliau, WhatsApp ketika ini tidak mewajibkan sistem pengesahan akaun seperti yang dicadangkan.
WhatsApp hanya mengesahkan pemilikan nombor telefon dan bukannya identiti sebenar pemilik akaun seperti sistem pengesahan rasmi yang sedang dikaji.
Cadangan atau pendekatan yang mungkin akan digunakan adalah seperti sistem pengesahan identiti yang ditawarkan oleh Facebook dan X. Menerusi sistem ini, identiti individu, organisasi atau perniagaan boleh disahkan bagi membuktikan kesahihan sesuatu akaun.
Buat masa ini, cadangan mewajibkan pengesahan identiti akaun WhatsApp masih di peringkat kajian dan belum ada pengumuman mengenai pelaksanaan atau tarikh kuat kuasanya.