Huawei bukanlah nama yang asing dalam dunia telefon pintar, sering hadir dengan peranti terbaik dalam setiap segmen yang ditawarkan oleh mereka. Termasuklah siri Huawei Nova, yang mana siri ini sentiasa hadir dengan penawaran yang menarik dengan harga yang lebih berbaloi.
Berikutan dari itu, kami ingin berkongsi pandangan awal mengenai Huawei Nova 11 Pro yang hadir dengan reka bentuk dan teknologi yang lebih baik dari sebelumnya.
Spesifikasi
Dari segi spesifikasi, tiada perubahan ketara kerana Huawei Nova 11 Pro masih lagi dijana dengan CPU dan GPU yang sama iaitu Snapdragon 778G 4G dan Adreno 642L . Cip ini menggunakan 8 teras secara keseluruhan dengan 4 teras Cortex-A78 pada 2.4 GHz dan 4 teras Cortex-A55 pada 1.8 GHz.
Untuk konfigurasi, peranti ini dipadankan dengan 8GB RAM dan storan dalaman sehingga 256GB. Bateri 4500mAh dimuatkan yang turut menyokong pengecasan HUAWEI SuperCharge Turbo 2.0 100W.
Rekaan
Huawei masih lagi mengekalkan rekaan yang sama seperti siri Huawei Nova 10. Namun, pada kali ini ia tampil dengan kemasan yang lebih mewah pada bahagian panel belakang. Kemasan yang digunakan adalah Monogram Vegan Leather. Menjadikan Huawei Nova 11 Pro terasa mewah dan selesa beli dipegang.
Selain itu, kemasan ini juga menjadikan reka bentuk Huawei Nova 11 Pro tampak lebih klasik dan estetika. Tidak ketinggalan, rekaan kamera turut diberikan nafas baru menjadikan panel belakang lebih minimal dan tiada lagi tulisan besar diletakkan pada keliling kamera.
Skrin
Huawei Nova 11 Pro hadir dengan skrin OLED FHD+ jenis melengkung yang bersaiz 6.78-inci, turut menyokong paparan 120Hz dan juga touch sampling rate pada 300Hz. Selain itu, skrin peranti ini turut hadir dengan PWM Dimming pada 1440Hz, 1.07 Billion warna dan juga P3 wide color gamut.
Kunlun Glass kini turut digunakan pada Huawei Nova 11 Pro, menjadikan ia peranti pertama dari siri Nova yang menggunakannya. Bingkai skrin yang digunakan juga kini lebih nipis dengan nisbah skrin sekitar 93.4%. Dengan rekaan bingkai yang nipis ia memberikan pengalaman penggunaan dan menonton yang lebih baik.
Sistem operasi
Seperti yang kita tahu, peranti dari Huawei hadir dengan sistem operasi EMUI. Dan untuk Huawei Nova 11 Pro, ia menjalankan sistem operasi EMUI 13 yang terkini berasaskan kepada Android 13.
EMUI 13 membawakan antara muka yang kemas dan mudah untuk difahami. Namun begitu, EMUI 13 tidak menyokong pelbagai pengubah suai pada antara muka dan mempunyai terlalu banyak aplikasi pihak ketiga. Walaubagaimanapun, aplikasi tersebut boleh diyahpasang.
Kamera
Untuk fotografi, Huawei Nova 11 Pro dilengkapi dengan tetapan tri-kamera belakang dengan sensor utama 50MP + 8MP ultra lebar + 2MP fokus laser. Manakala, untuk swafoto ia hadir dengan tetapan yang sama iaitu sensor 60MP + 8MP.
Huawei menyatakan yang kemampuan kamera pada Huawei Nova 11 Pro adalah lebih baik dari model sebelumnya. Namun begitu, kami belum lagi dapat mencuba keupayaan penuh kamera peranti ini. Kami sempat mengambil beberapa sampel gambar menggunakan kamera Huawei Nova 11 Pro.