Close

Aston Martin Super Tourer DB12 kini rasmi di Malaysia dengan harga bermula RM1.08 juta

Aston Martin secara rasmi membawakan legasi mereka yang seterusnya ke pasaran tempatan melalui model Super Tourer DB12, pengganti kepada DB11 yang telah ditawarkan sejak dari tahun 2016.

Super Tourer DB12 adalah era baharu Aston Martin, tampil dengan perubahan ketara pada bahagian depan, berbeza dari model sebelumnya. Hadir dengan rekaan serba baharu dari bampar, lampu, grill, splitter, hud dan menggunakan logo baharu Aston Martin. 

Rekaan belakang turut diberikan nafas baharu dengan menggunakan rekaan lampu berbentuk C bersama dengan sepasang tip ekszos. Aston Martin DB12 juga kini 8 kg lebih ringan dan menggunakan casis yang 7% lebih keras. Selain itu, ia kini menggunakan rekaan rim baharu yang bersaiz 21 inci yang dipadan dengan sistem suspensi teknologi baharu.

Aston Martin DB12 ini dikuasakan dengan enjin baharu V8 4.0 liter turbo berkembar yang mampu menghasilkan 680 ps dan 800 Nm. Mampu memecut dari 0 ke 100 km/j hanya dalam 3.6 saat dengan kelajuan maksimum 325 km/j.

Rekaan dalam juga diberikan nafas baharu dengan menggunakan skrin kluster digital moden, sistem audio dengan 15 pembesar suara dan juga skrin tengah 10.25-inci yang menyokong Android Auto dan Apple CarPlay. Bahagian konsol kini lebih minimalis yang menempatkan butang kawalan, mod pemanduan, tuil penukar gear dan lain-lain.

Di Malaysia, Aston Martin DB12 dijual pada harga RM1,088,000 tidak termasuk cukai. Bagi yang berminat, pra-tempahan telahpun dibuka. Dari segi jaminan, Aston Martin menawarkan jaminan tambahan sehingga 20 tahun. Untuk maklumat lanjut boleh layari laman web rasmi Aston Marton.

ARTIKEL BERKAITAN