Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abd Halim, mengumumkan yang Malaysia dipilih buat kali kedua menjadi tuan rumah Kejohanan Dunia Mobile Legends: Bang Bang (MLBB) M6 yang berlangsung pada 2024. Kali pertama Malaysia menjadi tuan rumah bagi kejohanan tersebut adalah pada 2019 ketika MLBB M1.
Dengan pemilihan tersebut, Malaysia bakal menjadi tumpuan sekali lagi buat peminat e-sukan di seluruh dunia lebih-lebih lagi peminat MLBB. Dalam pada itu, beliau turut menyatakan yang pencapaian ini bukan hanya untuk individu sebaliknya untuk semua rakyat Malaysia. Penganjuran ini bakal menjadi peristiwa yang istimewa dan akan diingati oleh semua.
MLBB M5 2023 yang berlangsung di Manila, Filipina telah menutup tirainya semalam menyaksikan AP.BREN yang juga pasukan tuan rumah dinobatkan sebagai juara selepas menawaskan ONIC Esport di peringkat akhir dengan skor 4-3.
MLBB M5 melibatkan 16 pasukan terbaik dunia secara keseluruhan. Dua wakil Malaysia iaitu Homebois dan SMG gagal menunjuk prestasi terbaik mereka telah terkandas di peringkat kumpulan.